
Permainan video dalam talian kini menjadi trend anak muda di era milenium.
Pastinya ia dilihat sebagai perkara yang kurang baik bagi perkembangan mereka kerana akan menjadikan anak muda khususnya lalai dan anti-sosial.
Kadang-kala perkara ini sukar dibendung apabila mereka sudah ketagih, namun ia tetap perlu diatasi.
Seperti yang berlaku di China, pihak penguatkuasa mengehadkan masa untuk kanak-kanak bermain permainan dalam talian bagi mengatasi masalah ketagihan.
Peraturan itu menetapkan mereka yang berusia bawah 18 tahun hanya dibenarkan bermain permainan dalam talian 90 minit pada waktu siang.

Menurut laporan BBC, golongan itu juga dilarang bermain permainan dalam talian antara jam 10 malam hingga 8 pagi.
Garis panduan itu juga mengehadkan jumlah wang yang boleh dihabiskan oleh kanak-kanak untuk permainan dalam talian kepada 200 RMB (RM118) sebulan atau sehingga 400 RMB (RM236) bagi remaja berusia antara 16 dan 18 tahun.
Peraturan baru itu juga mewajibkan pemain mendaftarkan nama sebenar dan tambahan perincian seperti akaun WeChat, nombor telefon atau nombor kad pengenalan.

Menerusi kenyataan pada Selasa lalu, kerajaan China turut menyeru pengeluar permainan dalam talian mengubah suai kandungan, fungsi atau peraturan permainan bagi mengelak ketagihan golongan muda.
China adalah pasaran permainan video terbesar di dunia, namun kerajaan mengambil langkah mengetatkan industri itu susulan peningkatan ketagihan permainan dalam talian dan masalah kesihatan termasuk rabun dalam kalangan kanak-kanak.
Peraturan baru itu menjadi isu hangat yang dibincangkan di platform media sosial China, Weibo semalam, dengan 210 juta pandangan.
Anda ada berita menarik untuk dikongsi? Sila email ke [email protected]