Wanita Uighur ‘dipaksa sekatil’ dengan pengawas China selepas suami ditahan, kata laporan

Wanita Uighur ‘dipaksa sekatil’ dengan pengawas China selepas suami ditahan, kata laporan

China mengerah lebih 1 juta pengawas untuk bekerja, makan dan duduk bersama keluarga tahanan dalam program "Pair Up and Become Family".

PETALING JAYA:
Wanita Uighur yang suami ditahan di kem tahanan China dilaporkan dipaksa berkongsi katil dengan pengawas kerajaan China yang ditugaskan untuk mengawasi keluarga tahanan di rumah mereka, lapor laman berita United Kingdom, Independent.

Memetik temubual Radio Free Asia (RFA) dengan sumber parti komunis China, laporan itu berkata pengawas kerajaan terbabit sering tidur bersama ahli keluarga tahanan berketurunan Uighur dalam kunjungan selama sehinga satu minggu itu.

Pengawasan itu sebahagian daripada tindakan sistematik kerajaan China terhadap komuniti keturunan Uighur beragama Islam di Xinjiang, di mana kumpulan pakar dan hak asasi manusia percaya lebih satu juga Uighur ditahan dalam kem-kem “pemulihan”.

Sejak awal tahun lalu, keluarga-keluarga Uighur berkenaan dikehendaki “mengundang” pengawas kerajaan ke rumah mereka, menyediakan maklumat mengenai kehidupan dan pandangan politik masing-masing, dan mematuhi indoktrinasi politik.

China mengerahkan lebih satu juta pengawas – kebanyakannya lelaki dan berketurunan Cina – untuk duduk bersama keluarga Uighur setiap dua bulan dalam program yang dinamakan “Pair Up and Become Family”.

Dalam kunjungan itu, pengawas terbabit – yang digambarkan sebagai “saudara” keluarga-keluarga yang diawasi – akan bekerja, makan dan selalunya berkongsi katil dengan “tuan rumah”, kata seorang ketua jawatankuasa kejiranan kepada RFA, yang mahu namanya dirahsiakan. Dia menyelia 70 hingga 80 keluarga di daerah Yengisar.

“Mereka bersama pasangan mereka siang dan malam. Kebiasaannya seorang atau dua orang tidur sekatil, tapi kalau cuaca terlalu sejuk, tiga orang tidur bersama,” tambahnya.

Dia menjelaskan pengawas berkenaan “membantu” keluarga tahanan Uighur dari segi “ideologi” dan “membawa idea-idea baru”, dan “bercakap mengenai kehidupan dengan mereka, di mana masa itu terlahirlah perasaan terhadap satu sama lain”.

Dia “tidak pernah terdengar” sebarang cubaan rasmi untuk mengambil kesempatan atau melakukan penderaan seksual terhadap ahli keluarga terbabit, dan menambah “sekarang sudah dianggap normal untuk seorang perempuan berkongsi platform dengan ‘saudara’ lelakinya.”

Kerajaan menggambarkan program itu sebagai sukarela. Gambar-gambar di media sosial memaparkan “saudara” baru keluarga-keluarga tahanan Uighur itu menghadiri majlis perkahwinan, pengebumian dan acara-acara lain.

Ketua jawatankuasa kejiranan itu berkata pengawas lelaki kerap tidur bersama wanita Uighur sepanjang mereka duduk sebumbung. Dia mencadangkan bahawa seorang pengawas berada dalam jarak satu meter daripada “tuan rumah” pada waktu malam sudah dianggap sebagai dapat diterima.

China berkata kunjungan rumah itu bertujuan “memupuk keharmonian etnik”, dan pegawai-pegawai kerajaan ditugaskan untuk mengajar bahasa Mandarin dan lagu-lagu komunis kepada keluarga terbabit, menyertai aktiviti berkumpulan, dan membantu melakukan kerja-kerja rumah.

China menggambarkan ia sebagai sebahagian usaha melawan keganasan di Xinjiang, susulan siri serangan pengganas pada 2014. Beijing pernah menafikan pendedahan kem tahanan itu, tetapi kemudian berkata ia “pusat vokasional” untuk “menyelamatkan” orang daripada pengaruh pelampau.

Menteri di Jabatan Perdana Menteri Mujahid Yusof Rawa juga melawat “pusat latihan dan vokasional” pada Jun lalu, mengatakan pusat itu menjalankan aktiviti “latihan perindustrian” seperti menjahit dan mengakhiri kenyataannya dengan #RahmatanLilAlamin.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.