
Peguam A Srimurugan berkata Hakim Mahkamah Tinggi Mohd Nazlan Mohd Ghazali harus secara kritis menilai keterangan saksi-saksi dengan pemeriksaan balas daripada pasukan pembelaan.
“Terserah kepada hakim untuk menentukan berapa berat yang perlu diletakkan pada saksi-saksi dan dokumen-dokumen yang dikemukakan. Kemudian, berdasarkan keseluruhan keterangan, beliau akan tentukan adakah pasukan pendakwaan mempunyai kes prima facie,” katanya kepada FMT.
Beliau berkata ada tiga kemungkinan: Najib diperintah membela diri terhadap semua tuduhan, mahkamah membebaskannya, atau Najib bebas daripada tuduhan salah guna kuasa dan pecah amanah (CBT) tetapi diminta menjawab tuduhan pengubahan wang.

Najib dituduh menyalahgunakan kuasa perdana menteri dengan memberi jaminan kerajaan ke atas pinjaman RM4 bilion daripada Kumpulan Wang Persaraan (KWAP) kepada SRC International.
Beliau berdepan tiga tuduhan pengubahan wang dan tiga tuduhan pecah amanah dalam pemindahan RM42 juta kepada akaunnya dari SRC International, bekas unit 1MDB.
Beliau didakwa melakukan kesalahan itu di AmIslamic Bank Bhd di Jalan Raja Chulan dan Pejabat Perdana Menteri di Putrajaya antara 17 Ogos 2011 dan 10 Feb 2015.
Semasa penghujahan, Peguam Negara Tommy Thomas berkata Najib menyalahgunakan kuasanya semasa beliau menyertai mesyuarat Kabinet dalam urusan mengenai SRC International.
Thomas berkata Najib, antara lain, meluluskan jaminan kerajaan untuk SRC bagi memperoleh sejumlah pinjaman RM4 bilion daripada KWAP pada 2011 dan 2012.
Beliau berkata Najib mendapat manfaat kerana RM42 juta daripada wang SRC itu, sebahagian daripada pinjaman RM4 bilion yang diperoleh daripada KWAP, masuk ke akaun peribadinya.

Thomas berkata Najib meminta perlembagaan SRC bagi mendapat kuasa mutlak dan menyebabkan syarikat itu meminjam wang di mana kerajaan perlu mengeluarkan surat jaminan.
Beliau berkata peguam Ranjit Singh juga memberi keterangan bahawa Najib akui dalam satu saman fitnah bahawa RM42 juta daripada SRC International masuk ke akaun bank peribadinya.
Pendakwa raya ad hoc V Sithambaram, yang diberi lesen untuk tampil dalam pasukan pendakwaan, berkata penyaluran dana rakyat sebanyak RM42 juta itu dilakukan atas arahan dan pengetahuan bekas perdana menteri.
“CBT itu dirancang dengan baik dan dirancang terlebih dulu sejak beberapa tahun oleh tertuduh,” kata Sithambaram.
Beliau berkata keterangan menunjukkan suatu proses berlapis, di mana wang dimasukkan ke akaun bank peribadi Najib dan kemudian dikeluarkan, antara lain, melalui pengeluaran cek.

Sithambaram juga menolak pendirian pasukan pembelaan bahawa RM42 juta itu sumbangan daripada kerabat Arab, mengatakan wang itu hampir keseluruhannya digunakan, dengan hanya baki RM763 dalam salah satu akaunnya setakat 9 Sept 2014.
Peguam Muhammed Shafee Abdullah berkata tiada kes salah guna kuasa kerana anak guamnya tiada kepentingan dalam SRC, sebuah syarikat berkaitan kerajaan.
“Ini kerana Seksyen 23(4) Akta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia memberi imuniti kepadanya sebagai perdana menteri dan menteri kewangan ketika itu apabila beliau mewakili badan awam lain seperti SRC,” katanya.
Shafee berkata Najib tidak mungkin menggelapkan RM42 juta kerana wang itu bukan daripada SRC tetapi sebahagian daripada sumbangan daripada seorang putera Arab.
Beliau berkata tuduhan pengubahan wang terhadap Najib juga musnah kerana pasukan pendakwaan gagal membuktikan kesalahan salah guna kuasa dan CBT itu.

Peguam Harvinderjit Singh, yang membantu Shafee, juga menggesa Nazlan tidak endah kira-kira 70 dokumen yang dikemukakan pasukan pendakwaan sebagai keterangan kerana ia bukan dokumen asal dan pihak yang “membuat” dokumen itu tidak dipanggil untuk memberi keterangan.
Pasukan pendakwaan berusaha membuktikan kes menerusi keterangan lisan, keadaan dan dokumen. Bagaimanapun, ia tidak dapat mengesan beberapa saksi disebalik usaha polis dan SPRM.
Menjawab perkara itu, Sithambaram berkata Akta SPRM dan Akta Pencegahan Pengubahan Wang Haram, Pencegahan Pembiayaan Keganasan dan Hasil Daripada Aktiviti Haram (Amlatfa) membolehkan pasukan pendakwaan mengemukakan salinan dokumen.
“Pendirian undang-undang adalah Akta Keterangan, yang merupakan undang-undang am, harus memberi laluan kepada undang-undang khusus yang mana tertuduh dituduh,” katanya, dan menambah terserah kepada mahkamah untuk menentukan berapa berat diberikan kepadanya.