Kadar caj perundingan perubatan diumum bulan depan

Kadar caj perundingan perubatan diumum bulan depan

Menteri Kesihatan, Dr Dzulkefly Ahmad yakin isu caj perundingan dapat diselesaikan penghujung tahun ini.

Menteri Kesihatan, Dr Dzulkefly Ahmad.
KUALA SELANGOR:
Kementerian Kesihatan akan mengumumkan kadar caj perundingan pengamal perubatan am swasta, akhir tahun ini.

Menterinya, Dr Dzulkefly Ahmad berkata ketika ini kementerian dalam peringkat akhir sebelum memutuskan penetapan kadar kenaikan caj perundingan tersebut.

“Kita belum lagi memuktamadkannya. Kita dalam peringkat akhir, yang mana kita telah mengikut keputusan Kabinet menyerahkan perkara itu kepada Majlis Tindakan Sara Hidup Negara (NACCOL) bagi meneliti kadar kenaikan tersebut.

“Saya pun telah diberi satu taklimat oleh NACCOL berhubung penetapan yang dibuat dari segi penyelarasan ‘bayaran perundingan’ itu, saya yakin dapat diselesaikan penghujung tahun dan sejurus dapat kelulusan dari NACCOL saya akan bentangkan perkara itu kepada jemaah menteri (untuk dimuktamadkan kadar kenaikan caj tersebut),” katanya kepada pemberita selepas merasmikan program Kem Kesihatan Bersama Hospital Tung Shin di sini, hari ini.

Beliau berkata demikian ketika diminta mengulas mengenai kadar kenaikan caj perundingan pengamal perubatan am swasta yang sepatutnya dimuktamadkan bulan ini.

Cadangan itu dibangkitkan sebelum ini, susulan permohonan 7,000 doktor perubatan umum untuk mengharmonikan fi perundingan yang tidak disemak sejak sekian lama.

Kadar caj perundingan pengamal perubatan dan doktor swasta di seluruh negara dicadang untuk dinaikkan antara RM35 dan RM125 daripada RM10 dan RM35, yang tidak disemak hampir 12 tahun.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.