Ekonomi global ancam kesatuan, pekerja, kata aktivis

Ekonomi global ancam kesatuan, pekerja, kata aktivis

Proses globalisasi memberi kelebihan kepada negara lebih kaya untuk mengambil kesempatan ke atas sumber dan tenaga kerja lebih murah di negara miskin.

Aktivis berkata, pekerja di seluruh dunia menderita berikutan pelbagai trend yang berlaku dalam proses globalisasi, antaranya perjanjian perdagangan bebas dua hala. (Gambar Bernama)
KUALA LUMPUR:
Seorang aktivis sosio-ekonomi ternama mencadangkan supaya kesatuan sekerja melihat melampaui isu hak pekerja dalam menghadapi ekonomi dunia yang semakin tidak saksama dan memihak kepada negara lebih kaya.

Timbalan pengerusi badan Bantah-TPPA dan pengasas Blindspot, sebuah kumpulan sosio-ekonomi, Azlan Awang berkata, pekerja di seluruh dunia menderita berikutan pelbagai trend yang berlaku dalam proses globalisasi, antaranya perjanjian perdagangan bebas dua hala.

Beliau berkata, perjanjian berkenaan kerap menyebabkan negara lebih kaya mengambil kesempatan ke atas sumber dan tenaga kerja lebih murah di negara lebih miskin, termasuk Malaysia.

“Globalisasi dan perdagangan bebas berbunyi indah, tetapi bentuknya yang berjalan hari ini bukanlah bentuk yang kita harapkan,” katanya pada satu bengkel antarabangsa bertajuk “Changing World and Developing Trade Union Rights: Effective Trade Unionisme” anjuran Kongres Kesatuan Sekerja Malaysia (MTUC) di sini.

Katanya, setakat ini perjanjian perdagangan bebas tidak menatijahkan negara lebih miskin yang mengambil bahagian meraih kesaksamaan ekonomi dengan negara lebih kaya.

Aktivis sosio-ekonomi, Azlan Awang.

“Wujud ‘teori konvergensi’ yang mengandaikan negara lebih miskin yang mengambil bahagian dalam perjanjian perdagangan bebas akhirnya akan bergabung dengan negara maju. Ia bagaimanapun tidak berlaku.”

Beliau berkata, berdasarkan trend semasa, pergabungan dengan negara lebih maju itu tidak akan berlaku. Sebaliknya negara lebih miskin akan semakin menjauh dari negara rakan kongsi mereka yang lebih kaya.

Menurut Azlan, keadaan ini berpunca daripada model ekonomi sedia ada, yang menyaksikan negara lebih miskin menjual komoditi dan tenaga kerjanya pada harga lebih murah, dan pada saat sama mengimport barangan modal pada harga yang sangat tinggi.

“Kita mencipta satu keadaan yang menyebabkan kita menyukarkan lagi keadaan yang sedia ada dan menjadi lebih miskin.”

Beliau berkata, ekonomi Malaysia “sangat lompong” kerana ia terlalu bergantung pada eksport, yang sebahagian besarnya merupakan produk terpasang.

“Kita mengimport berbilion-bilion komponen dan kemudiannya memasangnya di Malaysia.

“Kita tawarkan tenaga kerja, tenaga elektrik dan gas murah. Kita berikan pelepasan cukai kepada syarikat pembuatan sehingga 10 tahun, malah kadang-kdanag 20 tahun. Kita juga mengeksport pada harga rendah.”

Azlan memetik laporan Persidangan Pertubuhan Bangsa-bangsa Bersatu mengenai Perdagangan dan Pembangunan (Unctad) pada 2013 yang menyebut bahawa “pertumbuhan dorongan eksport” tidak lagi berdaya maju.

Ia merumuskan bahawa pertumbuhan Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) berdasarkan eksport mengakibatkan negara miskin bersaing sesama mereka bagi menyediakan antara lain, tenaga kerja paling murah.

“Pada dasarnya, ia mengisyaratkan bahawa negara seperti Malaysia bersaing dengan negara seperti Vietnam, Thailand dan Filipina untuk menawarkan undang-undang buruh dan alam sekitar yang lebih longgar dan liberal.”

Ini katanya bertentangan dengan kepentingan pekerja.

Inilah keadaannya. Saya fikir, kesatuan sekerja, terutama di Malaysia, berdepan jalan mundur kerana ekonomi dunia tidak berpihak kepada pekerja.”

Bagaimanapun katanya, kesatuan sekerja masih mempunyai peranan dalam memandu ekonomi ke arah yang betul.

“Doktrin ekonomi yang kita gunakan cacat. Kita perlu perbetulkannya. Kita (kesatuan sekerja) mempunyai perana lebih besar untuk dimainkan.

“Kita harus melihat melampaui isu perhubungan perusahaan dan sumber manusia yang lazim.”

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.