DAP punca masalah, Zahid ulas isu video MB Perak

DAP punca masalah, Zahid ulas isu video MB Perak

Sebelum ini tular satu klip video mirip menteri besar Perak yang berkata beliau terkontang-kanting seorang diri melawan 'puak-puak DAP'.

Presiden Umno Ahmad Zahid Hamidi berkata, DAP mempunyai calon lain dan tidak menyokong Ahmad Faizal Azamu sebagai menteri besar Perak.
KUKUP:
Presiden Umno, Ahmad Zahid Hamidi berkata DAP adalah punca permasalahan yang berlaku di Perak selepas klip video tular individu mirip menteri besar negeri itu bercakap mengenai usaha melindungi kepentingan Melayu melawan “puak-puak DAP”.

Zahid berkata, keadaan itu disebabkan DAP mempunyai calon lain dan tidak memberi dukungan kepada Ahmad Faizal Azamu daripada PPBM sebagai menteri besar Perak.

“Kita tahu mereka mempunyai calon Melayu yang didatangkan dari luar untuk menjadi menteri besar.

“Itu masalah mereka, tapi yang penting di Perak kita cuma kekurangan dua kerusi sahaja, dan dua kerusi itu pun telah “menyeberang”,” katanya ketika ditemui pada satu program santai bersama penduduk di sini, hari ini.

Zahid merujuk kepada dua ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) DAP yang meletakkan jawatan dalam parti dan memilih menjadi ahli bebas sebelum ini kerana tidak berpuas hati dengan kepimpinan DAP negeri berkenaan.

Terdahulu tular satu klip video mirip Faizal yang berkata di Perak beliau terkontang-kanting seorang diri melawan “puak-puak DAP”.

“Saya nak pertahankan tanah orang Melayu. Saya nak perjuangkan agama kita,” kata lelaki dalam klip video itu.

Zahid berharap BN tidak perlu menunggu sehingga pilihan raya umum ke-15 akan datang untuk mengambil alih kuasa kerajaan kerana percaya permasalahan yang timbul dalam PH akan memberikan peluang itu kepada parti itu.

Dalam perkembangan lain, Zahid berkata, beliau tidak menyentuh institusi perundangan negara berikutan satu laporan polis yang dibuat oleh Pemuda PH Johor terhadapnya susulan komen beliau mengenai isu basikal lajak.

Semalam ketua Pemuda PH Johor Taqiuddin Cheman dilaporkan berkata, kenyataan Zahid berhubung isu itu boleh mencetuskan ketegangan kaum dan mencabar kewibawaan sistem keadilan.

Zahid berkata, beliau tidak menyentuh tentang pihak berkuasa atau pihak yang menjatuhkan hukuman.

“Saya suarakan suara hati, bukan hanya ibu bapa yang kehilangan lapan anak-anak itu, tetapi juga persepsi masyarakat tentang kemalangan yang mengorbankan lapan nyawa itu,” katanya, merujuk kepada kemalangan jalan raya yang meragut nyawa lapan remaja pada 18 Feb 2017 di Jalan Lingkaran Dalam, Johor Bahru.

“Mereka tidak lagi berada di dunia ini dan kita harus bersimpati dengan ibu bapa mereka dan kita juga kena simpati dengan masyarakat tentang apa berlaku kepada ibu bapa dan anak anak mereka,” katanya.

Pada 28 Okt, Mahkamah Majistret Johor Bahru melepas dan membebaskan Sam Ke Ting, 24 tanpa memanggilnya membela diri selepas pihak pendakwaan gagal membuktikan kes prima facie.

Majstret Siti Hajar berkata, keputusan itu dibuat berdasarkan beberapa faktor, antaranya situasi jalan berbukit yang gelap dan berselekoh menyebabkan pemandu tidak boleh menjangka terdapat kumpulan berbasikal di jalan pada pukul tiga pagi.

Sam dituduh di bawah Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987 yang memperuntukkan hukuman penjara sehingga 10 tahun dan denda sehingga RM20,000 jika sabit kesalahan.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.