Wala’ pada presiden punca ahli PAS sokong calon MCA

Wala’ pada presiden punca ahli PAS sokong calon MCA

Ahli PAS berkata sekiranya Abdul Hadi Awang mengarahkan mereka perlu sokong calon BN, mereka akan sokong.

Penyokong BN dan PAS bersama-sama dalam ceramah perdana BN.
PONTIAN:
Beberapa ahli PAS yang ditemui FMT di Tanjung Piai berkata mereka akan mengundi calon MCA yang mewakili Barisan Nasional (BN) disebablan wala’ atau setia kepada arahan presiden mereka, Abdul Hadi Awang.

Ahli PAS, Mohd Awan berkata sekiranya Hadi berkata ahli PAS perlu sokong calon BN, mereka akan sokong.

“Apa-apa kenyataan dikeluarkan kepimpinan atasan, kita akan ikut. Sebab kita wala’.

“Ahli PAS terima seadanya, walaupun calon BN bukan Islam. Islam tidak rasis dan kita memang perjuangkan Islam sebagai nombor satu,” katanya ketika menghadiri ceramah perdana BN, kelmarin.

Awan, 29, berkata PAS juga ingin menunjukkan pada rakyat Malaysia bahawa parti itu boleh menyokong mana-mana calon bukan Islam selagi tidak menghina Islam.

“Saya yakin pengundi dari ahli PAS di Tanjung Piai akan ikut keputusan kepimpinan dan dijangka akan turun undi,” katanya.

(Dari kiri) Zaid Ibrahim, Abdullah Salleh dan Mohd Awan ketika ditemui di ceramah perdana BN.

Pada 31 Okt lalu, PAS mengesahkan Hadi bersetuju dengan keputusan BN meletakkan pemimpin MCA, Wee Jeck Seng sebagai calon pilihan raya kecil (PRK) Parlimen Tanjung Piai pada 16 Nov depan.

Setiausaha Agung PAS Takiyuddin Hassan berkata, parti itu yakin pemilihan tersebut dibuat berdasarkan kepentingan setempat dan menjadi formula bagi menguatkan suara pembangkang di peringkat pusat.

Kelmarin, Hadi berkata PAS turun ke Tanjung Piai untuk menyokong MCA yang mewakili BN bagi menghadapi PRK kawasan Parlimen itu.

Hadi berkata itu adalah isyarat untuk memastikan kemenangan Wee dalam pertandingan merebut kerusi Parlimen itu.

Seorang lagi ahli PAS, Abdullah Salleh berkata calon BN boleh menang sekiranya mendapat sokongan pengundi Melayu dan Cina.

Abdullah, 23, berkata dengan gabungan Piagam Muafakat Nasional juga diyakini bertambah kuat dan boleh memenangkan BN.

“Perpaduan ummah akan bertambah kuat selagi dalam PAS dan Umno tidak ada serpihan parti Amanah dan PPBM,” katanya.

Sementara itu, Zaid Ibrahim berkata gelombang anak muda juga memainkan peranan penting dalam PRK kali ini.

Dia berkata rata-rata anak muda sudah menyesal dengan Pakatan Harapan dan ini memberi kelebihan pada BN.

“Ramai dah menyesal dan ada anak muda yang nak balik kampung jumpa mak ayah pun sudah malu,” katanya.

Zaid, 21, berkata berdasarkan tiga PRK yang dimenangi BN, menunjukkan petanda PH sudah tidak kuat dan boleh ditumbangkan.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.