Pelajar Lubnan turun ke jalan raya bantah kerajaan

Pelajar Lubnan turun ke jalan raya bantah kerajaan

Protes yang bermula sebagai satu gerakan popular yang spontan tanpa pemimpin bertukar menjadi lebih tersusun dengan aktivis bekerjasama menyelaraskan perarakan dan protes di seluruh Lebanon.

Beribu-ribu pelajar universiti dan sekolah tinggi turun ke jalan raya di seluruh Lebanon bagi menguatkan protes antikerajaan yang berjalan.(Gambar AP)
BEIRUT:
Beribu-ribu pelajar turun ke jalan raya di seluruh Lubnan semalam menuntut masa depan lebih baik sewaktu protes antikerajaan yang memasuki minggu keempat terus merebak.

Pelajar yang membawa beg sekolah mengetuk periuk belanga, dengan menyambut tindakan beberapa ribu wanita yang memulakan protes di tapak utama di Beirut pada Rabu petang.

“Mereka pencuri, semua mereka pencuri,” pekik seorang pelajar di Beirut sambil didukung rakan sekelasnya di luar bangunan Kementerian Pendidikan.

Di bandar Tripoli di utara yang menyaksikan mobilisasi yang giat sejak tercetusnya protes pada 17 Okt, penunjuk perasaan menurunkan gambar ahli politik dari dinding bangunan awam di bandar itu dan menggantikannya dengan bendera Lebanon.

Rasa tidak puas hati pada mulanya tertumpu pada isu kekurangan infrastruktur dan perkhidmatan awam yang lemah, tetapi berkembang pantas menjadi satu gerakan nasional untuk menyingkir kelompok elit yang menurut penunjuk perasaan telah menguasai negara itu selama beberapa dekad seumpama sebuah kartel.

Beribu-ribu pelajar universiti dan sekolah tinggi turun ke jalan raya di seluruh Lebanon bagi menguatkan protes yang berjalan.

Pelajar, yang melepaskan suar berwarna warni dan mengibarkan bendera Lebanon, menyekat lalu lintas ke ibu negara dan menuntut penyingkiran penuh kumpulan politik dan sistem perkongsian kuasa mereka yang berdasarkan puak.

Satu plakad tertulis soalan: “Bagaimana jika kita mempunyai kepimpinan politik yang muda, terpelajar, beretika dan kompeten?”

“Kita pergi ke sekolah, kita bekerja keras dan akhirnya memperolehi diploma supaya kita boleh bermalas-malas di rumah tanpa berbuat apa-apa,” kata Marwa Abdel Rahman, 16.

Pengangguran belia di Lubnan mencapai angka lebih 30% dan ramai generasi mudanya merancang untuk berpindah ke luar negara sehinggalah protes bermula bulan lepas mencipta detik luar biasa berhubung harapan dan perpaduan nasional di sebuah negara yang tegar ciri perpecahannya.

Protes yang bermula sebagai satu gerakan popular yang spontan, bukan politik dan tanpa pemimpin kini bertukar menjadi lebih tersusun dengan aktivis bekerjasama bagi menyelaraskan perarakan dan protes di seluruh negara.

Selepas mengadakan hadangan di jalan raya sejak beberapa hari, penunjuk perasaan kita beralih kepada usaha menyekat akses kepada institusi yang dilihat sebagai contoh utama salah pengurusan dan rasuah.

Pelajar di Tripoli menghalang pekerja daripada masuk bekerja di bangunan Kementerian Komunikasi.

“Kami mahu meningkatkan tekanan ke atas pemimpin politik yang korup dan tidak menangani tuntutan kami,” kata Samir Mustafa, seorang penganggur berusia 29 tahun.

Perdana Menteri Saad Hariri meletak jawatan kerajaan pimpinannya pada 29 Okt berikutan tekanan protes yang berlaku.

Langkah itu tidak memenangi hati penunjuk perasaan di Tripoli yang bertindak menggantikan poster gergasi beliau dengan bendera Lubnan di beberapa lokasi. Tindakan yang disambut gembira oleh penduduk.

“Mesejnya ialah Tripoli bukan milik mana-mana pemimpin,” kata Yusef Tikriti, seorang aktivis berusia 23 tahun.

Kabinet kekal memerintah atas kapasiti sebuah kerajaan sementara tetapi usaha untuk membentuk satu barisan baru tampak terhenti dengan setiap kumpulan dalam gabungan kerajaan sementara itu berusaha menyelamatkan pengaruh masing-masing.

Hariri bertemu Presiden Michel Aoun dan berkata rundingan dengan semua pemain politik sedang berjalan, tetapi tiada maklumat lanjut diberikan.

Semalam Bank Dunia memberi amaran bahawa kegagalan membentuk kerajaan yang memenuhi tuntutan penunjuk perasaan dengan segera akan membawa kepada keruntuhan ekonomi yang lebih buruk.

Badan kehakiman mengambil beberapa langkah yang bertujuan menyekat rasuah. Semalam ia mendakwa ketua kastam kerana membazirkan dana awam dan menyoal perdana menteri, Fouad Siniora, berhubung perbelanjaan melebihi belanjawan.

Aoun dilaporkan bertegas untuk mempertahankan Menteri Luar Gebran Bassil, yang merupakan menantunya dan paling dibenci oleh penunjuk perasaan, di jawatan utama.

Ahli politik veteran dan speaker Parlimen, Nabih Berri, tidak membuat komentar terbuka terhadap protes yang berlaku, walaupun penyokong beliau cuba mengganggu protes berkenaan bulan lepas.

Lewat semalam, beliau memberitahu saluran televisyen NBN bahawa Hariri harus dikekalkan sebagai perdana menteri untuk kepentingan Lubnan.

Di negara di mana senjata boleh didapati dengan mudah dan parti politik utama kerap menggunakan khidmat samseng yang diupah, namun protes yang berjalan serta langkah pasukan keselamatan untuk menghalangnya sehingga kini tidak berakhir dengan pertumpahan darah.

Pada Rabu malam, beribu-ribu wanita mengadakan himpunan cahaya lilin di Medan Syuhada dengan mengetuk periuk dan belanga bagi menghangatkan suasana malam Beirut.

Peristiwa itu, yang disiarkan secara langsung oleh beberapa saluran televisyen, mendapat sambutan penduduk dan selama beberapa minit menyambut ketukan tersebut di rumah masing-masing di seluruh bandar raya itu.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.