
Bercakap mengenai tawaran pelantikan tetap kepada PPS, Menteri Dzulkefly Ahmad menjelaskan jumlah perjawatan tetap baru diwujudkan berdasarkan keperluan perjawatan dan kriteria tertentu, bukan mengambil kira faktor keluaran graduan perubatan.
“Kementerian hanya mempunyai obligasi menyediakan penempatan latihan siswazah dan khidmat wajib,” katanya pada sidang media di kementerian hari ini.
Dzulkefly menambah kementerian sebelum mengambil beberapa langkah bagi mengatasi isu pelantikan PPS, antaranya mengubah kaedah lantikan secara tetap kepada lantikan secara kontrak.
“Tempoh maksimum lantikan kontrak selama lima tahun iaitu tiga tahun bagi latihan siswazah dan dua tahun bagi khidmat wajib,” katanya.
Menurut Dzulkefly, seramai 16,407 PPS dilantik bawah dasar itu bagi tempoh Dis 2016 sehingga Okt 2016, dengan jumlah tanggungan emolumen sebanyak RM1.65 bilion.
“Bagaimanapun, isu tempoh menunggu masih berlaku disebabkan faktor luar kawalan seperti jumlah keluaran graduan yang semakin meningkat khususnya graduan perubatan luar negara berbanding dengan 12,033 slot latihan yang disediakan di 46 hospital latihan siswazah,” tambahnya.
Katanya lagi, terdapat juga PPS lantikan tetap yang masih belum menamatkan latihan siswazah.
“Selain itu, berdasarkan rekod semasa, jumlah graduan yang ditawarkan lantikan kontrak pada 2019 sehingga November adalah seramai 6,307 orang. Manakala yang masih menunggu seramai 1,152 orang,” katanya.
PPS yang sudah tamat latihan siswazah, memiliki sijil pendaftaran penuh dan melengkapkan khidmat wajib tetapi tidak diserap tetap ke perkhidmatan awam mempunyai peluang untuk berkhidmat di agensi lain dalam sektor awam dan swasta, tambahnya.
Sementara itu, Dzulkefly memaklumkan kementerian masih menunggu kelulusan Jabatan Perkhidmatan Awam dan Suruhanjaya Perkhidmatan Awam untuk 10,675 perjawatan baru, termasuk jawatan pegawai perubatan siswazah bawah kementeriannya.
Beliau menjelaskan permohonan bagi jawatan tambahan dikemukakan pada 12 Julai 2018 bagi menampung keperluan perkhidmatan di fasiliti baru dan dinaik taraf yang akan beroperasi pada 2019 dan 2020.
Sebelum ini, Pertubuhan Doktor-doktor Islam Malaysia (Perdim) bimbang dengan lambakan graduan perubatan yang belum menjalani latihan amali, selain kurang berkualiti.
Presidennya, Dr Ahmad Syukri Ismail berkata, negara mempunyai lambakan graduan perubatan namun bidang perubatan masih kekurangan doktor.
“Ini maksudnya kualiti mereka juga rendah kerana mereka tidak menjalani latihan amali (housemanship) di hospital.
“Kerajaan pula tidak iktiraf kalau buat latihan amali di luar negara,” katanya kepada FMT.
Syukri berkata, purata graduan perubatan dalam negara berjumlah 5,000 orang, manakala dari luar negara pula seramai lebih kurang 2,000 orang setiap tahun.