
Beliau berkata, berdasarkan pemerhatiannya terhadap kempen pilihan raya kecil (PRK) Tanjung Piai yang masuk hari ketujuh hari ini, terdapat ahli PAS yang kecewa selepas puncuk pimpinan mereka meminta mengundi calon bukan Islam daripada Barisan Nasional (BN).
“Kita yakin ahli PAS akan memberi undi kepada kita. Rata-rata mereka kecewa dan tidak sanggup memberi undi kepada calon bukan Islam.
“Kita yakin ahli PAS di Tanjung Piai akan beri undi secara diam-diam. Jauh di sudut hati kecil mereka tidak puas hati diberi arahan supaya undi calon MCA,” katanya dalam temu bual eksklusif dengan FMT di sini.
Pada 31 Okt, PAS mengesahkan bahawa presidennya, Abdul Hadi Awang bersetuju dengan keputusan BN meletakkan pemimpin MCA, Wee Jeck Seng sebagai calon PRK Parlimen Tanjung Piai pada 16 Nov depan.
Setiausaha Agung PAS Takiyuddin Hassan berkata, parti itu yakin pemilihan tersebut dibuat berdasarkan kepentingan setempat dan menjadi formula bagi menguatkan suara pembangkang di peringkat pusat.
Kelmarin, Hadi berkata, PAS turun ke Tanjung Piai untuk menyokong MCA yang mewakili BN bagi menghadapi PRK itu.
Dalam pada itu, Badhrulhisham Abdul Aziz berkata sebab utama Berjasa bertanding bukanlah kerana mahu ‘menguji pasaran’, tetapi kerana Umno dan PAS tidak meletakkan calon Melayu dan Islam di kerusi Parlimen tersebut.
Beliau berkata, sebelum BN meletakkan calon MCA, Berjasa sudah memberi amaran sekiranya perkara itu berlaku, parti tersebut akan bertanding di situ.
“Orang Tanjung Piai yang mahukan calon Melayu. Dulu BN letak calon bukan Melayu, bila PPBM letak bekas penyandang kerusi ini, iaitu Dr Md Farid Md Rafik, beliau menang.
“Bila BN letak calon MCA maka ramai menunjukkan ramai rasa kecewa kerana ia bertentangan dengan piagam Muafakat Nasional yang ditandatangani oleh Umno dan PAS sebelum ini,” katanya.
PAS tidak ceritakan perkara “sebenar”
Badhrulhisham berkata PAS juga tidak menceritakan perkata “sebenar” bahawa kerusi Tanjung Piai sebenarnya merupakan kerusi Berjasa.
Beliau berkata, pada pilihan raya umum ke-14 thun lepas, Berjasa bertanding atas tiket PAS dan perkara itu dibincangkan dalam gabungan Gagasan Sejahtera yang melibatkan dua parti itu.
“Macam PPBM dan DAP bertanding atas lambang PKR. Benda itu tidak disebut dalam PAS. Ia bukan muncul secara tiba-tiba, ia ada sejarahnya,” katanya.
Badhrulhisham berkata, walaupun banyak pihak memperlekeh penyertaan Berjasa, namun beliau yakin parti itu boleh memenangi PRK Tanjung Piai dengan majoriti sebanyak 1,500 ke 2,000 undi.
“Dengan kempen yang betul dan strategi yang baik kita boleh menang,” katanya.
Badhrulhisham juga menolak dakwaan bahawa Berjasa bertanding kerana “dihantar” oleh PAS atau PH untuk memecahkan undi.
Beliau berkata, pada pilihan raya umum ke-13. Berjasa juga pernah dituduh menjadi “budak suruhan” Umno kerana bertanding di Tanjung Piai.
“Saya menafikannya sekeras-kerasnya. Kita mempunyai prinsip sendiri. Jentera kami kebanyakkan 80 peratus golongan muda dan kita yakin boleh menang,” katanya.
Badhrulhisham, 56, yang berasal dari Muar, Johor memiliki Ijazah Kedoktoran Kejuruteraan Kimia dari Universiti Kyoto, Jepun; Ijazah Sarjana Kejuruteraan Kimia dari Universiti Wales United Kingdom dan Ijazah Sarjana Muda (Kejuruteraan Kimia) dari Universiti Colorado State, Amerika Syarikat.
Badhrulhisham mempunyai kemahiran berbahasa Melayu, Inggeris dan Jepun.
Beliau pernah menjadi pensyarah di UTM, jurutera kanan, pengurus Cabot Corporation USA, pengarah Pusat Strategik Korporat Universiti Malaysia Kelantan (UMK) dan pengurus dan konsultan Technoprenuer Integrated Entreprise.
Badhrulhisham mempunyai pengalaman sebagai jurucakap kerajaan mengenai isu Lynas, di Parlimen Malaysia dan merupakan presiden Berjasa bagi sesi 2019-2020.