Budak 7 tahun maut selepas dihantar ke pusat tahfiz tak berdaftar

Budak 7 tahun maut selepas dihantar ke pusat tahfiz tak berdaftar

Mangsa dengan kesan lebam pada tubuh disahkan meninggal dunia pada 1 tengah hari, semasa menerima rawatan di Klinik Kesihatan Lanchang.

Kanak-kanak lelaki yang maut difahamkan baru belajar di pusat tahfiz tidak berdaftar di Lanchang, Temerloh sejak pertengahan Oktober lepas. (Gambar Bernama)
KUANTAN:
Seorang kanak-kanak lelaki berusia tujuh tahun yang dihantar ke sebuah pusat tahfiz tidak berdaftar di Lanchang, Temerloh, maut dengan kesan lebam pada tubuhnya, semalam.

Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Pahang Othman Nanyan berkata mangsa disahkan meninggal dunia pada 1 tengah hari, semasa menerima rawatan di Klinik Kesihatan Lanchang.

Katanya, polis kini menahan tiga remaja berusia 13 tahun yang juga pelajar di pusat tahfiz itu bagi membantu siasatan kematian mangsa.

“Maklumat awal menyatakan mangsa ditemui dalam keadaan lemah oleh warden wanita pusat tahfiz itu, yang kemudiannya membawa mangsa ke klinik kesihatan tersebut.

“Mangsa difahamkan baru belajar di situ sejak pertengahan Oktober lepas, bersama-sama dengan abang tirinya,” katanya kepada pemberita, hari ini.

Othman berkata siasatan awal mendapati pusat tahfiz yang beroperasi di sebuah rumah batu itu mula mengambil pelajar sejak awal tahun ini, dan buat masa ini mempunyai empat pelajar termasuk mangsa.

Pusat tahfiz itu dikendalikan pasangan suami isteri, dengan tenaga pengajarnya ialah suami kepada warden tersebut.

Othman berkata bedah siasat ke atas mangsa akan dilakukan di Hospital Sultan Haji Ahmad Shah, Temerloh hari ini, dan siasatan dijalankan mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan iaitu bunuh yang membawa hukuman mati mandatori, jika sabit kesalahan.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.