
Beliau berkata walaupun PAS berbeza pendapat dengan MCA, tetapi kedua-dua parti itu mempunyai sepakat dan kemungkinan bersama.
“Jangan izin orang tebuk bahtera ini. Potong tangan-tangan siapa nak tebuk bahtera ini.
“Ajarkan di Tanjung Piai dalam pilihan raya kecil (PRK) yang ada ini. Calon MCA yang jadi calon ini, wakili kita semua bukan mewakili satu kaum sahaja,” katanya ketika ceramah perdana Barisan Nasional di Kampung Rimba Terjun, malam tadi.
Pada 14 September lalu, Piagam Muafakat Nasional yang dimeterai Umno dan PAS, antara lain bersetuju membentuk kerjasama dengan mengembangkan naratif Islam dan Melayu tanpa menafikan kepelbagaian agama, kaum dan budaya sebagai paksi kepada kestabilan politik, keharmonian kaum serta kesejahteraan negara.
Sebelum ini, Hadi menjelaskan sokongan penuh PAS terhadap calon bukan Islam dari MCA, Wee Jeck Seng pada PRK Tanjung Piai adalah kerana wakil rakyat Melayu-Islam sudah “terlalu majoriti” dalam muafakat nasional.
Hadi berkata disebabkan itu, perlunya wakil rakyat bukan Islam bagi menonjolkan semangat muafakat nasional yang dimeterai September lalu.
Mengulas lanjut, Hadi berkata PAS berjanji akan turun ke Tanjung Piai untuk menyokong MCA bertanding.
Beliau menjelaskan pengundi Tanjung Piai perlu faham PRK kali ini besar maknanya iaitu untuk memberi isyarat kepada rakyat tentang PRU15.
“Sekarang barisan pembangkang yang majoriti besar orang Melayu sahaja dan kita memerlukan kerusi-kerusi bukan Islam yang tidak ekstrim dan kita tolak parti ekstrim.
“PAS beza pendapat dengan MCA dan begitu juga MCA. Kita bukan dalam satu pakatan tetapi dalam satu gabungan, tetapi DAP boleh kata kita dalam satu pakatan,” katanya.
DAP serang PAS
Hadi berkata walaupun PAS tidak bertanding di Tanjung Piai tetapi parti itu paling hebat diserang khususnya daripada DAP.
“PAS tidak bertanding, soalnya mengapa PAS satu parti Islam yang bersifat agama boleh sokong calon MCA yang dianggap bukan Islam.
“Perlu difahami Islam yang kita faham Islam yang diajar bukan sahaja satu agama. Islam juga adalah cara hidup, antaranya yang ajak kita hidup masyarakat,” katanya.
Hadi berkata perkara itu bukan rekaan tetapi ia terdapat dalam Al-Quran.
“Kita memerlukan satu pakaian sahaja. Pakaian dari kain, kain dari benang, benang dari kapas ditanam, mesti ada jentera pembaja.
“Tidak mungkin seorang buat kerja, satu kain buat seorang, satu bangsa buat kerja mereka tanam kapas, tak mungkin.
“Mesti dibahagikan tugas dan kerja ikut budaya dan bangsa masing masing dan itu jadi berbagai bangsa.”