
Presiden Pertubuhan Pedagang dan Peniaga Kebangsaan Malaysia (Perdana) Erwan Tahir berkata, dengan jangkaan sehingga 67 peratus siswazah Malaysia terlibat dalam bidang teknologi, langkah itu secara tidak langsung akan menurunkan kadar pengangguran dalam negara.

“Keupayaan Lynas Malaysia untuk bekerjasama dengan Mara Corporation harus dilihat dengan paradigma baru memandangkan syarikat ini sudah bertapak di di negara sejak 12 tahun lalu.
“Semestinya pengetahuan luas pengurusan Lynas dalam memastikan keberhasilan kondusif akan dikecapi dan membantu menangani sensitiviti masyarakat setempat ataupun di negara,” katanya dalam satu kenyataan, hari ini.
Pengerusi Mara Corp, Akhramsyah Muammar Ubaidah Sanusi berkata, keputusan menandatangani MoU kelmarin dilakukan “dengan mematuhi semua keperluan tadbir urus baik”.
MoU yang ditandatangani Akhramsyah dan naib presiden dan pengarah urusan Lynas, Mashal Ahmad, turut melibatkan kerjasama dalam pengkomersilan sisa bukan radioaktif dari kilang Lynas Malaysia di Gebeng, Kuantan.
Akhramsyah berkata, “MoU itu dibawa ke lembaga Mara Corp pada 23 Sept 2019 dan diluluskan dengan kehadiran wakil lembaga Majlis Mara.
Akhramsyah berkata, tujuan utama Mara Corp menandatangani MoU dengan Lynas adalah bagi menjalin kerjasama strategik dalam pelaksanakan beberapa projek bernilai tinggi untuk menarik pelabur asing langsung (FDI) ke Malaysia.
Erwan berkata, beliau mahu pihak yang mempunyai hubung kait dengan Mara Corp melihat kerjasama dengan Lynas Malaysia sebagai pemangkin kerjasama strategik dan menarik FDI.
Menurutnya, kerjasama membabitkan penggunaan nadir bumi merupakan input penting kepada bidang berteknologi tinggi serta merupakan industri yang mempunyai kadar pertumbuhan tinggi.
“Perdana optimis langkah ke hadapan Mara Corp dalam merebut peluang ini berikutan perkembangan industri hijau dan berteknologi tinggi di negara, selain mampu mencapai objektif dan polisi Mara,” katanya.