KUFC sertai TRW dalam saingan Liga Premier 2020

KUFC sertai TRW dalam saingan Liga Premier 2020

KUFC selaku juara Liga M3 sasar jadi pasukan terbaik bersama TRW dalam saingan Liga Premier.

Ketua jurulatih Kelantan United (KUFC) Zahasmi Ismail berkata beraksi di Liga Premier akan memberikan suasana berbeza kepada pasukan itu. (Gambar Facebook)
KOTA BHARU:
Ketua jurulatih Kelantan United (KUFC) Zahasmi Ismail mengakui banyak aspek perlu diperbaiki oleh pasukan itu bagi menghadapi saingan Liga Premier musim depan.

Zahasmi berkata ini kerana beraksi di Liga Premier akan memberikan suasana berbeza kepada pasukan itu berbanding beraksi di Liga M3 musim ini.

“Banyak lagi perkara yang perlu difikirkan kerana Liga Premier sudah tentu lebih mencabar, kami harus bekerja keras dan melakukan banyak analisis.

“Begitu juga dengan pemain import perlu ditambah berikutan sekarang ini pasukan hanya mempunyai dua pemain import sedangkan di Liga Premier pasukan memerlukan empat pemain import,” katanya ketika ditemui di sini, hari ini.

Pada perlawanan terakhir Liga M3 Selasa lepas, KUFC mengesahkan kejuaraan liga itu apabila terikat 2-2 dengan Armed Forces FC di Stadium KLFA, Cheras.

Keputusan itu menyaksikan Kelantan United FC mengumpul 66 mata selepas 26 perlawanan, tidak mampu dicabar oleh Kuching FA yang berada di kedudukan kedua biar pun berbaki dua perlawanan.

Zahasmi berkata bagi membentuk pasukan khususnya pemain, ia turut bergantung kepada kemampuan pengurusan pasukan.

“Kami lihat dahulu, jika perlu menambah pemain kami tambah dan bergantung kepada keperluan pasukan menghadapi saingan Liga Premier musim depan.

“Saya yakin dengan pemain yang ada bersama pasukan ketika ini untuk memberikan saingan kepada pasukan lain kerana musim ini rata-rata pemain pernah bermain untuk saingan Liga Super dan Liga Premier sebelum ini seperti Mohd Badri Radzi, Mohd Shahrizan Ismail, Daudsu Jamaluddin dan beberapa pemain lain,” katanya.

Katanya kehadiran pasukan KUFC memberikan suasana baharu kepada sukan bola sepak Kelantan.

“Saya fikir dua pasukan KUFC dan The Red Warriors (TRW) mampu menjadi pasukan terbaik pada saingan Liga Premier,” katanya.

TRW dan KUFC mewakili Kelantan pada saingan Liga Premier musim depan.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.