
Dalam tulisan di Facebook hari ini, Khairy berkata NFDP pasti akan membuahkan hasil pada masa depan jika tiada tangan menghancurkan skim itu.
Lim kembali ke Munich, Jerman selepas kontrak beliau tamat pada 30 Okt lepas.
Kata Khairy, beliau bersedih kerana mereka berdua tidak dapat menyaksikan hasil NFDP bersama.
“Kita mungkin tidak layak ke Piala Dunia Bawah 17 (B17), tapi benih yang disemai Teong Kim akan menunjukkan hasil satu hari nanti, selagi sistem yang dia bantu bina itu tidak dirosakkan oleh pihak tertentu.
“Saya dah beritahu kamu, pembangunan ini memang perancangan jangka panjang. Cuma saya sedih sebab kita tak dapat lihatnya,” kata beliau lagi.
Ahli Parlimen Rembau itu turut berkongsi sekeping gambarnya bersama pengarah teknikal Akademi Bola Sepak Mokhtar Dahari (AMD) itu sambil memaklumkan Lim telah kembali semula Jerman selepas kontraknya tamat.
Menurut Khairy, enam tahun lalu, beliau berjaya meyakinkan bekas pengendali Akademi Bayern Munich itu ke Malaysia untuk memimpin NFDP.
“Beliau mahukan yang terbaik daripada jurulatihnya, malah mengerah pemain sampai habis-habisan.
“Memang banyak kali kami tak bersetuju tapi saya biarkan beliau buat kerjanya,” katanya.
Tahun lalu, kontrak Lim dinilai semula selepas skuad B-16 negara gagal melayakkan diri ke Piala Dunia 17 di Peru, malah Menteri Belia dan Sukan, Syed Saddiq Syed Abdul Rahman menyifatkan gaji RM175,000 sebulan diberikan kepada Lim perlu dikaji semula.
Dalam satu temu bual dengan media tempatan, Lim memetik pemimpin Persatuan Bola Sepak Malaysia berkata setiap program pembangunan memerlukan masa 10 tahun untuk melihat hasilnya.
“Tetapi sebenarnya program ini baru sahaja lima tahun dan kini kita berada di landasan yang betul,” kata beliau.
Kata Lim, ia bukan mengenai kepuasan semata-mata sepanjang tempoh lima tahun bersana NFDP.
Sebaliknya beliau menganggap apa yang telah dilakukan selama ini paling utama ialah untuk membantu membawa perubahan, namun bagi beliau ramai yang tidak memahami erti pembangunan yang sebenarnya.