
Menteri Belia dan Sukan, Syed Saddiq Syed Abdul Rahman berkata, kementerianya menyediakan bengkel latihan serta pelatih profesional kepada kumpulan basikal lajak bagi memastikan minat mereka disalurkan ke arah sesuatu yang lebih bermanfaat.
“Ini sesuatu yang KBS sudah lakukan sejak insiden kemalangan membabitkan basikal lajak. Kita sudah laksanakan banyak bengkel latihan kepada kumpulan basikal lajak.
“Tidak cukup sekadar sediakan litar kerana aspek keselamatan sebelum ini tidak diutamakan. Basikal yang mereka ubah suai tiada brek, tidak gunakan peralatan keselamatan serta dipandu di kawasan berbukit.
“Jadi kita sediakan peralatan basikal pegun untuk mereka gunakan. Ia dapat membina otot dan kelajuan, sekali gus melatih mereka menjadi pelumba basikal Malaysia satu hari nanti,” katanya kepada pemberita di lobi Parlimen, hari ini.
Beliau berkata demikian ketika diminta mengulas cadangan beberapa pihak supaya KBS membina litar khas supaya kanak-kanak dan remaja dapat menggunakannya untuk aktiviti basikal lajak secara selamat
Mengulas lanjut, Syed Saddiq berkata, bengkel latihan itu mendapat sambutan menggalakkan daripada komuniti basikal lajak.
“Dalam program terakhir yang saya sendiri sertai di Gombak, ada kira-kira 150 kumpulan basikal lajak yang turut bersama dalam bengkel itu,” katanya.
Syed Saddiq turut menyokong jika individu yang suka mengubah suai basikal lajak, dihantar ke Institut Kemahiran Belia Negara (IKBN) dan Institut Kemahiran Tinggi Belia Negara (IKTBN) untuk menyerlahkan lagi bakat mereka.
Katanya, beliau juga sedang mendapatkan pandangan beberapa pihak berhubung inisiatif lain yang boleh dilakukan bagi menyalurkan minat kumpulan basikal lajak, tanpa mengetepikan aspek keselamatan.