
Selepas seminggu mengharamkan penjualan e-rokok secara atas talian, sebuah dokumen dikeluarkan pada Khamis oleh lapan agensi kerajaan, termasuk Suruhanjaya Kesihatan Kebangsaan, merancang satu pelan tindakan untuk memerangi amalan rokok dan penggunaan “vape” dalam kalangan remaja.
Dokumen itu, yang menggalakkan penggunaan undang-undang, semakan undang-undang sedia dan penguakuasaan bagi mengharamkan e-rokok di tempat awam, tidak menyatakan lebih lanjut mengenai bila dan bagaimanakah larangan itu akan berkuatkuasa.
Tindakan China itu merupakan sekatan terbaru ke atas industri yang berdepan kemerosotan keuntungan dalam beberapa bulan sebelum ini kerana dikaitkan dengan penyakit paru-paru misteri yang memberi kesan kesihatan ke atas 1,888 dan membunuh 37 individu.
“Pada ketika ini, tidak ada bukti jelas menyatakan e-rokok boleh membantu orang ramai berhenti merokok,” kata dokumen itu.
“Pihak berkuasa tidak harus membenarkan e-rokok dipasarkan dan diiklankan sebagai alat untuk berhenti merokok.
Keputusan China meletakkan negara itu setaraf dengan negara yang mengharamkan e-rokok, termasuk India, Brazil dan Singapura.
Sebaliknya sesetengah negara seperti UK melihat e-rokok sebagai altenatif kepada rokok, salah satu penyebab utama kematian yang boleh dicegah.
Satu tinjauan yang dikeluarkan Pertubuhan Kesihatan Sedunia pada Julai lalu menunjukkan lebih daripada 90% responden di China menyokong ruangan dalam bangunan yang bebas rokok. Ia termasuk rokok dan e-rokok.
Menurut firma perunding L.E.K, saiz pasaran e-rokok di China meningkat daripada AS$451 juta pada 2016 kepada AS$718 juta pada 2018 kerana kurangnya peraturan khusus pada masa lalu menyebabkan ia berkembang.
Dokumen kerajaan itu menekankan keperluan untuk mewujudkan persekitaran bebas rokok, sama ada rokok tradisional atau peralatan “vape” di dalam dan sekitar sekolah.
Bahkan ia menuntut “siasatan rapi” dibuat terhadap penjualan produk merokok berhampiran sekolah.
Pada Ogos tahun lalu, China mengharamkan e-rokok kepada remaja di bawah usia 18 tahun.
“Kami sangat bimbang dengan gejala merokok dalam kalangan remaja kerana penjualan rokok di sekitar sekolah merupakan satu perkara biasa” kata Gan Quan, pengarah kawalan tembakau di The Union, sebuah badan bukan kerajaan yang menyediakan sokongan penggubalan dasar kepada Kementerian Kesihatan di negara membangun yang berpangkalan New York.
“Penguatkuasaan undang-undang berkait larangan penjualan okok kepada kanak-kanak di China ‘sangat lemah’,” katanya.
Sebelum ini e-rokok dilihat sebagai alat yang boleh membantu perokok berhenti merokok, namun kini ia dilihat sebagai sesuatu yang berbahaya.
Ia diharamkan di lebih dari 20 buah negara, manakala Juul Labs Inc, sebuah syarikat e-rokok terbesar di Amerika Syarikat disiasat kerana memasarkannya dalam kalangan remaja.