China lancar kempen hidup hijau bagi ‘remajakan’ alam sekitar

China lancar kempen hidup hijau bagi ‘remajakan’ alam sekitar

Pada 2022, lebih 60% isi rumah dijangka terlibat dalam aktiviti "kehidupan hijau" seperti menanam pokok, melindungi hidupan liar, dan mengurangkan sisa plastik.

China telah melancarkan perang menangani pencemaran dan memodenkan ekonomi perindustrian berat dalam usaha memelihara alam sekitar. (Gambar Reuters)
SHANGHAI:
China melancarkan kempen “kehidupan hijau” kebangsaan semalam bagi menggesa orang ramai mengurangkan pembaziran, menjimatkan air dan menanam pokok sebagai sebahagian daripada usaha lebih luas untuk menangani kerosakan yang disebabkan beberapa dekad pertumbuhan tidak teratur.

Walaupun kerajaan tidak menentukan bagaimana sasaran itu akan dicapai atau dikuatkuasakan, kempen tersebut akan menggunakan kaedah penggerak tradisional Parti Komunis dengan mengubah tingkah laku individu, bukannya bertindak ke atas syarikat seperti dahulu.

Pada 2022, lebih 60% isi rumah dijangka terlibat dalam aktiviti “kehidupan hijau” seperti menanam pokok, melindungi hidupan liar, dan mengurangkan sisa plastik.

Parti Komunis dan jabatan kerajaan perlu memenuhi keperluan untuk mengitar semula, membeli kenderaan tenaga boleh diperbaharui dan membuat pejabat tanpa kertas, sementara sekolah-sekolah dijangka mewujudkan “kampus hijau”.

Kawasan-kawasan kediaman bandar dijangka mewujudkan “persekitaran hidup” dan meningkatkan ruang hijau, manakala pusat membeli-belah akan digalak mengurangkan sisa dan mempromosikan “penggunaan hijau”.

China adalah pemancar gas rumah hijau terbesar di dunia, yang dipersalahkan kerana pemanasan global. Ia telah melancarkan perang menangani pencemaran dan memodenkan ekonomi perindustrian berat dalam usaha memelihara alam sekitarnya.

Dengan melancarkan beberapa siri kempen terhadap pencemar korporat, ia telah membina infrastruktur dan mencipta insentif untuk merawat sisa.

Ia sedang membina 100 pusat kitar semula baru yang akan siap menjelang akhir tahun depan.

Shanghai telah melancarkan beberapa inisiatif baru yang bertujuan memperbaiki persekitaran dan ia merupakan bandar pertama di China untuk memaksa penduduknya menyusun sampah mereka sendiri.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.