
Menurut Artnet News, karya itu yang bernilai jutaan dolar, termasuk beberapa yang diberikan kepada aktor Leonardo DiCaprio yang diserahkan kepada pihak berkuasa pada 2017.
Ia adalah “Red Man One” oleh Jean-Michel Basquiat, “Child With Toy Hand Grenade in Central Park” oleh Diane Arbus dan “Nature morte au crane de taureau”. Karya terakhir sahaja bernilai kira-kira AS$3.2 juta.
Jho Low juga dijangka menyerahkan “La maison de Vincent a Arles” oleh Van Gogh yang dibelinya dengan harga AS$5.5 juta pada 2013 dan “Saint-Georges Majeur” oleh Monet yang dibeli dengan harga lebih AS$20 juta pada 2015.
Minggu lalu, DoJ dilaporkan memeterai perjanjian dengan Jho Low untuk memperoleh semula wang hampir AS$1 bilion dari dana pelaburan 1MDB.
Perjanjian itu, jika diluluskan hakim persekutuan akan membantu menyelesaikan kes pelucuthakan yang dikaitkan dengan Jho Low, di mana pihak pendakwa berkata kecurian terancang lebih AS$4 bilion daripada 1MDB yang akhirnya digunakan untuk membiayai jet peribadi, kapal layar mewah, rumah agam, berlian dan penerbitan filem Hollywood.
Penyelesaian DoJ itu akan membolehkannya mendapatkan semula hasil dari hartanah di Los Angeles, New York dan London dan penjualan jet Bombardier.
Jho Low juga dijangka menyerahkan tuntutannya ke atas kapal layar mewah yang dirampas oleh kerajaan dan kini dijual. Secara keseluruhannya, satu penyelesaian akan menyelesaikan puluhan tuntutan pelucuthakan.
Perjanjian itu tidak termasuk pengakuan bersalah atau salah laku. Ia juga tidak jelas sama ada ia memberi kesan ke atas dakwaan jenayah terhadap Jho Low di AS.