Sosma hanya boleh dipinda pada sidang Parlimen Mac 2020, kata Muhyiddin

Sosma hanya boleh dipinda pada sidang Parlimen Mac 2020, kata Muhyiddin

Menteri dalam negeri itu berkata, ada beberapa proses yang perlu dilalui, termasuk membincangkan cadangan pindaan dalam Kabinet selepas mengambil kira pandangan semua pihak berkepentingan.

Muhyiddin Yassin berkata, ada cadangan supaya tempoh reman 28 hari dipendekkan kepada 14 hari dan mahkamah akan memutuskan sama ada ia perlu disambung 14 hari lagi.
KUALA LUMPUR:
Muhyiddin Yassin berkata, pindaan peruntukan undang-undang drakonian, termasuk Akta Kesalahan Keselamatan (Langkah-langkah Khas) 2012 (Sosma) hanya boleh dilakukan pada sidang Parlimen Mac tahun depan.

Menteri dalam negeri itu berkata, ada beberapa proses yang perlu dilalui, termasuk membincangkan cadangan pindaan itu dalam Kabinet selepas mengambil kira pandangan semua pihak berkepentingan.

“Jadi, ada beberapa perkara yang belum selesai. Kementerian masih menunggu kalau ada pihak lain nak beri pandangan dan kalau selesai, kita akan bawa balik kepada Kabinet, kalau Kabinet lulus, baru kita bawa ke Parlimen.

“Saya fikir untuk sekarang ini, sidang Parlimen akan habis tidak lama lagi, kita belum siap kertas (pindaan itu)…saya fikir awal Mac 2020, pada sesi akan datang,” katanya di lobi Parlimen hari ini.

Semalam, Dr Mahathir Mohamad dilaporkan berjanji pindaan ke atas Sosma dan peruntukan undang-undang berbentuk drakonian akan selesai dalam sidang Parlimen tahun ini.

Perdana menteri berkata, kerajaan tidak dapat memansuhkan undang-undang drakonian sama sekali, tetapi akan membuat pindaan untuk mengelakkan penyalahgunaan.

Sebelum ini, Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Liew Vui Keong dilaporkan berkata, pindaan terhadap sebahagian peruntukan dalam Sosma sudah dibincangkan Kabinet.

Hari ini, Muhyiddin berkata, sebuah jawatankuasa sudah ditubuhkan bagi meneliti peruntukan di bawah Sosma, termasuk hukuman yang disifatkan tidak berperikemanusiaan atau melanggar hak asasi manusia.

“Kita ada banyak sesi libat urus dan kerjasama dengan semua pertubuhan, badan guaman, Majlis Peguam, Suaram, Suhakam, orang awam, ahli akademik dan ada beberapa fasal kita teliti dengan lebih mendalam.

“Terdapat cadangan supaya tempoh reman 28 hari dikurangkan, tapi di pihak berkuasa seperti polis, kalau isu melibatkan keganasan, ia memerlukan masa lebih.

“Ada juga pandangan supaya dipendekkan 14 hari dan untuk menyambung 14 hari lagi, jadi 28 hari mesti dibawa ke mahkamah biar hakim putuskan, bukan terus beri kuasa penuh kepada polis, itu antara contoh-contoh cadangan yang dibuat.”

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.