Menteri Cyprus akui silap beri pasport pada pelabur

Menteri Cyprus akui silap beri pasport pada pelabur

Menteri Kewangan Cyprus, Harris Georgiades berkata, langkah pembetulan substantif berkaitan program pemberian kerakyatan kepada pelabur bermula awal tahun ini.

Akhbar Politis mendakwa Jho Low mendapat pasport Cyprus pada 2015 selepas campur tangan Archbishop Chrysostomos II, ketua Gereja Ortodoks negara itu.
NICOSIA:
Menteri kewangan Cyprus mengakui kesilapan berlaku dalam penawaran kerakyatan kepada pelabur, selepas ahli perniagaan Malaysia yang diburu pihak berkuasa, Low Taek Jho didedahkan mendapat pasport pulau Mediterranean itu pada 2015.

Siasatan Reuters yang disiarkan bulan lalu mendedahkan saudara-mara dan sekutu kaya Perdana Menteri Kemboja, Hun Sen terbabit dalam pembelian kewarganegaraan, dengan lapan daripada golongan dalamannya mempunyai pasport Cyprus.

Pihak berkuasa Cyprus melancarkan siasatan susulan laporan itu.

Media tempatan kemudiannya melaporkan skim itu memanfaatkan lebih 3,200 pelabur dan ahli keluarga mereka antara 2013 hingga 2018.

Akhbar Politis menyiarkan satu imej yang dikatakan pasport Cyprus diberikan kepada Low yang lebih dikenali sebagai Jho Low, didakwa terbabit dalam penyelewengan berbilion dolar dana 1MDB.

Beliau bagaimanapun menafikan sebarang salah laku dan lokasinya kini tidak diketahui.

“Kita perlu mengakui kesilapan dibuat pada awalnya. Walaupun ia kes terpencil, tetapi ia bukannya tidak penting,” kata Menteri Kewangan Cyprus, Harris Georgiades ketika menghadiri satu persidangan perniagaan di sini, hari ini.

“Langkah pembetulan substantif berkaitan program itu dilaksanakan sejak awal tahun ini.”

Cyprus menawarkan kerakyatan kepada pelabur sejak 2013, dengan pelaburan minimum €2 juta (RM10.11 juta) akan mendapat satu pasport dan kemasukan tanpa visa ke negara Kesatuan Eropah.

Pihak berkuasa berkata, dasar itu sudah dikaji semula beberapa kali dan syarat yang dikenakan sekarang lebih ketat.

Media tempatan melaporkan Kabinet Cyprus dijadual membincangkan isu itu pada Rabu.

Pendedahan Reuters menyebabkan parti pembangkang negara itu menuntut jawapan daripada kerajaan, dengan parti pembangkang utama, AKEL berulang kali mempersoalkan tindakan memberi pasport kepada individu yang “mungkin tidak tahu di mana Cyprus berada dalam peta”.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.