Jho Low di ‘sebuah pulau’ tapi bukan Cyprus, kata polis

Jho Low di ‘sebuah pulau’ tapi bukan Cyprus, kata polis

Ketua polis negara berkata, beliau menggunakan pelbagai cara untuk membawa Jho Low pulang bagi berdepan tindakan undang-undang.

Abdul Hamid Bador kecewa kerana ada negara yang enggan bekerjasama dengannya dan memberi alasan tidak masuk akal seperti ‘Jho Low menjalani pembedahan plastik’, ‘dia sudah pergi ke Cyprus’ atau ‘dia sudah ke UAE’.
KUALA LUMPUR:
Ketua Polis Negara, Abdul Hamid Bador hari ini menolak tanggapan Low Taek Jho sedang bersembunyi di Cyprus, beberapa hari selepas ahli perniagaan diburu pihak berkuasa itu didedahkan mendapat pasport Cyprus pada 2015.

Ditanya jika Low yang lebih dikenali sebagai Jho Low, mungkin mendapat perlindungan di Cyprus, beliau berkata tidak.

“Kenapa ke sana? Dia nampak lain, orang dengan mudah mengesannya,” katanya dalam sidang media di Maktab Polis Diraja Malaysia di Cheras, merujuk dakwaan Jho Low sudah menjalani pembedahan plastik.

Ditanya jika beliau tahu Jho Low bersembunyi di mana, Hamid berkata: “Ia ialah sebuah pulau.”

Bagaimanapun, beliau enggan mendedahkan butiran lanjut.

Katanya, mustahil untuk Jho Low meninggalkan negara persembunyiannya, tetapi beliau berjanji akan berusaha sedaya upaya untuk membawanya pulang ke Malaysia berdepan tindakan undang-undang.

“Saya guna banyak cara untuk bawa dia pulang, bukan hanya cara rasmi. Cara separuh rasmi juga.

“Kesabaran saya ada had, saya berunding dengan negara itu kerana kami beri kerjasama penuh dalam semua isu berkaitan dasar.

“Saya amat kecewa apabila permintaan saya tidak dilayan dan mereka beri alasan seperti ‘dia menjalani pembedahan plastik’, ‘dia sudah pergi ke Cyprus’ atau ‘dia sudah ke UAE’, yang tidak masuk akal langsung.”

Berdasarkan maklumat yang diperolehinya, Hamid berkata, Jho Low masih berada di negara terbabit.

Beliau turut menjelaskan kenyataannya pada 4 Nov lalu, di mana beliau dilaporkan berkata Jho Low kini “nampak seperti beruang dan berjalan seperti lembu liar”.

“Mereka kata ada kemungkinan dia menjalani pembedahan plastik. Itu alasan yang diberikan kepada saya. Jadi, saya cakap di Tawau, Sabah, saya tidak boleh terima alasan yang mereka berikan kerana dunia sangat maju sekarang dan senang untuk menjejaki seseorang.

“Jika alasan yang diberikan ialah dia menjalani pembedahan plastik, saya tanya jika doktor itu amat mahir sehingga dia boleh ubah seseorang kelihatan seperti seekor beruang.

“Saya tak cakap ‘dia nampak seperti seekor beruang’ atau apabila kita nampak dia berjalan dari belakang, dia nampak seperti seekor lembu liar berjalan. Itu maksud saya.”

Jho Low cuba beli harta di Cyprus

Sementara itu, Hamid dipetik Bernama sebagai berkata, pihaknya mendapat maklumat Jho Low sedang cuba membeli harta di Cyprus menggunakan nama individu tidak dikenali.

Katanya, ia mendapat maklumat itu selepas beberapa individu yang mempunyai kaitan dengan Jho Low ditahan beberapa minggu lalu.

“Kami ada buat tangkapan secara diam-diam kira-kira tiga, empat minggu lepas. Hasil daripada penahanan ini…kami dapat maklumat Jho Low sedang berusaha membeli harta menggunakan nama entah siapa di Cyprus.”

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.