F&N peruntuk RM450 juta untuk perbelanjaan modal tahun depan

F&N peruntuk RM450 juta untuk perbelanjaan modal tahun depan

Ketua Pegawai Eksekutif F&N, Lim Yew Hoe berkata, dana itu akan digunakan untuk mengambil alih tanah di Chuping, gudang bersepadu di Shah Alam dan aktiviti pelaburan di Thailand.

(Gambar Facebook)
KUALA LUMPUR:
Syarikat makanan dan minuman, Fraser & Neave Holdings Bhd (F&N) memperuntukkan RM450 juta untuk perbelanjaan modal tahun depan.

Ketua Pegawai Eksekutif, Lim Yew Hoe berkata, peruntukan itu meningkat ketara berbanding hanya RM30 juta yang diperuntukkan untuk perbelanjaan modal tahun ini.

“Kami akan gunakannya untuk pengambilalihan tanah (di Chuping) yang bernilai RM156 juta, gudang bersepadu di Shah Alam (RM180 juta), pelaburan di Thailand dan lain-lain,” katanya selepas taklimat keputusan kewangan syarikat tahun ini, hari ini.

Pada tahun kewangan berakhir 30 Sept lalu, F&N mencatatkan pertumbuhan hasil sebanyak 5.3% kepada RM4.08 bilion daripada RM3.87 bilion yang dicatatkan pada 2018.

Kumpulan itu juga mencapai keuntungan sebelum cukai tertinggi sebanyak RM533 juta, kenaikan 25.7% daripada RM424.1 juta pada 2018.

Lim berkata, pasaran F&B tempatan keseluruhannya akan terus mencabar di tengah-tengah tekanan persaingan berterusan dalam segmen susu dalam tin dan minuman sedia diminum.

Beliau menjangkakan pelancaran produk baru dengan inovasi kukuh, seperti minuman jus dan tiub teapot, akan mendorong pertumbuhan tahun depan dengan sumbangan sebanyak sepertiga.

Bagi pasaran Thailand, beliau meramalkan operasi di negara jiran itu kekal positif memandangkan portfolio ekuiti jenama dan produk kukuh, disokong rangkaian produk inovatif kumpulan.

“Kami percaya asas kukuh yang kami letakkan di masa lepas dan pelaburan dalam perbelanjaan jenama dan pelancaran produk baru pada suku keempat 2019 akan terus memacu pertumbuhan kami dalam sektor makanan dan minuman (F&B) Thailand,” katanya.

Mengenai eksport, Lim berkata, kumpulan itu menyasar mendapatkan hasil eksport sebanyak RM800 juta pada tahun depan, peningkatan 17 hingga 18% berbanding tahun ini.

Katanya, kira-kira RM100 juta hasil eksport dijangka diperolehi daripada rantau Timur Tengah dan Afrika Selatan, berikutan pembinaan pejabatnya di Dubai, Emiriah Arab Bersatu yang dijangka dapat disiapkan pada suku pertama tahun depan.

Mengenai projek ladang mega tenusu di Chuping, Lim berharap mendapat kelulusan kawal selia dalam tempoh enam bulan akan datang untuk pemerolehan tanah pajakan seluas 4,454 hektar itu.

Projek itu akan dilaksanakan dalam dua fasa dengan jumlah pelaburan RM850 juta dibiayai campuran dana dalaman, kemudahan bank dan kertas komersial.

Ladang yang direka menghasilkan 200 juta liter susu segar setiap tahun itu akan mengubah Malaysia menjadi pengeksport susu segar.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.