
Perolehan naik kepada RM460.43 juta daripada RM417.55 juta.
Westports dalam makluman kepada Bursa Malaysia hari ini berkata, peningkatan itu disumbang kenaikan jumlah kendalian kontena dan kos jualan yang stabil di bawah peraturan perakaunan baru, Piawaian Pelaporan Kewangan Malaysia (MFRS) 16.
Bagi tempoh sembilan bulan, keuntungan bersih pengendali pelabuhan itu melonjak kepada RM465.45 juta daripada RM387.93 juta, manakala perolehan menokok kepada RM1.33 bilion daripada RM1.19 bilion.
Pengarah Urusan Kumpulan, Ruben Emir Gnanalingam berkata, operator pelabuhan itu mengekalkan momentum pertumbuhan truput kontena yang menggalakkan, walaupun kadar pertumbuhan industri sederhana.
Ini berikutan syarikat itu menerima sokongan kukuh pelanggan, termasuk syarikat perkapalan di bawah Ocean Alliance yang menggunakan Westports sebagai satu daripada hab penghantaran di Asia Tenggara.
“Sokongan pertumbuhan bagi segmen dalam Asia menyediakan momentum luas bagi membolehkan syarikat mencapai pertumbuhan jumlah kontena pada kadar 16%, jauh melebihi purata industri,” katanya.
Beliau berkata, bagi kemudahan kapal yang singgah pada 2019, syarikat itu menempatkan lebih banyak kapal kontena ultra besar (ULCV) di dermaga, khususnya di tempat kapal berlabuh yang baru dibina beberapa tahun lepas, susulan langkah industri perkapalan menggunakan kapal kontena jauh lebih besar.
Pada masa depan, beliau berkata, syarikat itu menyasar mencapai kadar pertumbuhan peratusan dua angka lebih tinggi berbanding 2018.
“Bagi menyokong pertumbuhan pelanggan kami dan trend industri menggunakan ULCV lebih besar, Westports merancang memperluaskan terminal kontena mencecah nilai berbilion ringgit yang akan menjadikan jumlah kapasiti kendalian terminal itu sebanyak dua angka,” kata Ruben.
Beliau berkata, pelaburan signifikan yang perlu akan dibiayai Westports dan pembiayaan diraih daripada pasaran modal.
“Kemudahan tambahan Westports juga akan memperkukuh peranan Pelabuhan Klang sebagai pelabuhan utama bagi gerbang perdagangan negara, sekali gus melonjakkan terminal itu sebagai satu daripada hab penghantaran di rantau Asia Tenggara bagi pakatan perkapalan kontena antarabangsa,” katanya.