
Pada 10.20 pagi, saham syarikat itu naik setengah sen kepada RM2.13 dengan 319,700 saham saling berpindah tangan.
Boustead Holdings adalah pemegang utama saham syarikat itu dengan kepentingan 55.93% manakala Lembaga Tabung Angkatan Tentera (LTAT) memiliki 11.12% sahamnya.
LTAT pula merupakan pemegang kepentingan utama Boustead Holdings.
Seorang penganalisis berkata setakat ini, Pharmaniaga adalah pemegang konsesi tunggal yang menyediakan rangkaian perkhidmatan merangkumi penyimpanan dan pengedaran produk farmaseutikal dan perubatan, pembuatan farmaseutikal generik, pemasaran dan jualan; penyelidikan dan pembangunan dan serta lain-lain yang membantu memacu industri farmaseutikal tempatan.
Bagaimanapun, berdasarkan pengumuman oleh Kementerian Kesihatan, semua perkhidmatan tersebut dan konsesinya akan ditamatkan pada 30 November ini.
Pada masa sama, kementerian itu turut memberi jaminan bekalan perubatan dan perkhidmatan kesihatan tidak akan terjejas.
“Langkah rasionalisasi itu mengakhiri konsesi Pharmaniaga ketika Kementerian Kesihatan memutuskan mekanisme sesuai bagi menguruskan perkhidmatan secara tender terbuka. Bagaimanapun, impak berita itu akan menjejaskan prestasi syarikat utama iaitu Boustead serta LTAT jika Kabinet memutuskan untuk menamatkan konsesi itu,” katanya.
Setakat 10.20 pagi ini, saham Boustead susut setengah sen kepada 97.5 sen dan terus berkurangan daripada RM2.86 yang dicatatkan pada semalam.
Susulan pengumuman yang dibuat pada Khamis lepas, Pharmaniaga dalam satu kenyataan berkata operasi perniagaan syarikat itu berjalan seperti biasa dan yakin dengan kemampuan syarikat itu untuk meneruskan perkhidmatan kepada negara ini.
“Oleh kerana kerajaan percaya kepada amalan meritokrasi, syarikat yakin prestasinya akan menjadi kunci bagi meneruskan perkhidmatan sama ada melalui lanjutan konsesi atau kontrak tender terbuka.
“Sementara menunggu keputusan rasmi Kabinet, kami akan terus menawarkan perkhidmatan terbaik untuk rakyat sebagaimana slogan syarikat iaitu ‘Passion for Patients,’ selama ini,” katanya.