
Wee berkata, rang undang-undang untuk meminda Akta Mahkamah Syariah (Bidang Kuasa Jenayah) 1965, yang juga dikenali sebagai RUU355, tidak lagi wujud setelah PH mengambil alih pemerintahan lebih setahun lepas.
“Kami (MCA) menyuarakan pendirian menolak rang undang-undang itu,” katanya kepada pemberita selepas menghadiri majlis bertemu penduduk di Kukup di sini.
“Anda patut tanya kerajaan sekarang apakah pandangan mereka mengenai RUU355.”
Dalam satu ceramah malam tadi, pengerusi PH Kelantan Husam Musa mempersoalkan pendirian Wee berhubung RUU355.
Husam juga mempersoalkan sokongan PAS kepada Wee sekiranya pemimpin MCA itu mempertahankan pendiriannya menolak rang undang-undang tersebut.
RUU355 dibentangkan oleh Hadi pada 2016. Ia dijadualkan untuk bacaan kali kedua pada Mac 2018, tetapi tidak muncul dalam aturan mesyuarat Dewan Rakyat selepas itu.
Baru-baru ini ahli Parlimen Sik mewakili PAS Ahmad Tarmizi Sulaiman bertanya di Dewan Rakyat sama ada kerajaan PH bercadang untuk membentangkan rang undang-undang berkenaan.
Bagaimanapun tahun lepas, Menteri di Jabatan Perdana Menteri Mujahid Yusof Rawa berkata, rang undang-undang itu tidak sesuai dalam kerangka undang-undang syariah.