Red Warriors tunggu lesen sertai Liga Malaysia selepas langsai hutang

Red Warriors tunggu lesen sertai Liga Malaysia selepas langsai hutang

Persatuan Bola Sepak Kelantan sudah membayar RM100,000 kepada LHDN, RM200,000 (KWSP) dan RM16,000 (Perkeso) yang merupakan antara kriteria untuk permohonan lesen kelab TRW.

FAM dan MFL menggantung lesen kelab The Red Warriors disebabkan beberapa masalah, termasuk hutang dengan LHDN, Perkeso dan KWSP. (Gambar Facebook)
KOTA BAHRU:
Persatuan Bola Sepak Kelantan (KAFA) masih menunggu keputusan Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM) dan Liga Bola Sepak Malaysia (MFL) berhubung isu pelesenan kelab bagi memastikan skuad Kelantan dapat beraksi dalam saingan Liga Malaysia (Liga-M) musim depan.

Presiden KAFA, Wan Abdul Rahim Wan Abdullah berkata pihaknya sering berhubung dengan kedua-dua badan induk itu agar The Red Warriors (TRW) diberikan Pelesenan Kelab FAM.

“Mungkin esok atau lusa keputusan rasmi akan diketahui.

“KAFA sudah melaksanakan segala tanggungjawab berhubung masalah dengan agensi kerajaan seperti hutang Lembaga Hasil Dalam Negeri (LHDN), Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) dan Pertubuhan Keselamatan Sosial (Perkeso),” katanya selepas majlis makan malam KAFA di sini, malam tadi yang turut dihadiri Menteri Pertahanan, Mohamad Sabu selaku penasihat KAFA.

Sebelum ini, FAM dan MFL menggantung lesen kelab TRW susulan beberapa masalah, antaranya hutang dengan LHDN, Perkeso dan KWSP.

Rahim berkata, pihaknya sudah dan sedang memenuhi kriteria yang ditetapkan FAM serta MFL bagi permohonan lesen kelab itu.

“Kami sedaya upaya memenuhi kriteria itu, kami membuat pembayaran RM100,000 kepada LHDN, RM200,000 (KWSP) dan RM16,000 (Perkeso).

“Semua perkara telah kami kemukakan kepada FAM dan MFL untuk dipertimbang dan diharapkan satu keputusan positif diperolehi,” katanya.

Sementara itu, beliau berkata, barisan kepimpinan KAFA sebulat suara mengekalkan Yusri Che Lah sebagai ketua jurulatih pasukan itu bagi menghadapi saingan Liga-M musim depan.

“Pembentukan pasukan melibatkan pemain juga sedang dilakukan dan esok (hari ini) sesi latihan akan dimulakan di bawah kendalian Yusri.”

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.