Khazanah pilihan terbaik uruskan PLUS dan hutangnya, kata PM

Khazanah pilihan terbaik uruskan PLUS dan hutangnya, kata PM

Dr Mahathir Mohamad bagaimanapun berkata, kerajaan bersedia melepaskan PLUS jika ada pihak yang sanggup membayar harga tinggi untuk mengambil alih dan menanggung hutang syarikat itu.

Dr Mahathir Mohamad bergambar dengan pemimpin rantau ini pada Sidang Kemuncak Asean ke-35 di Bangkok hari ini. (Gambar Bernama)
BANGKOK:
Kerajaan akan mencari jalan terbaik menyelesaikan masalah kewangan yang membelenggu PLUS Malaysia Berhad (PLUS), kata Perdana Menteri, Dr Mahathir Mohamad.

Beliau berkata, pilihan terbaik buat masa ini adalah untuk Khazanah Nasional Berhad (Khazanah) yang merupakan pemegang saham utama dalam PLUS menguruskan syarikat konsesi tol itu dan hutangnya.

“Kita nak tengok mana yang terbaik mungkin. Kalau Khazanah urus, boleh selesai hutang, okeylah,” katanya kepada media Malaysia yang membuat liputan Sidang Kemuncak Asean ke-35 di sini, hari ini.

Sebelum ini, Pengarah Urusan Khazanah, Shahril Ridza Ridzuan dilaporkan berkata, Khazanah yang merupakan syarikat dana pelaburan negara tidak berminat menjual PLUS yang merupakan syarikat konsesi lebuh raya terbesar negara.

Khazanah memiliki 51% kepentingan dalam PLUS, manakala 49% lagi dipegang Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) susulan pengambilalihan pada 2011 dengan nilai transaksi RM32 bilion.

Bagaimanapun, Mahathir berkata, kerajaan bersedia melepaskan PLUS, jika ada pihak yang sanggup membayar harga tinggi untuk mengambil alih dan menanggung hutangnya.

“Kalau ada orang lain menawar untuk mengambil alih hutang sampai RM30 bilion, itu sesuatu yang baik. Bagi kerajaan, kita (akan) cakap dengan Khazanah.”

Minggu lepas, konglomerat pembinaan dan pengurusan fasiliti bersepadu, Widad Business Group Sdn Bhd menaikkan tawaran RM3 bilion kepada RM5.3 bilion untuk mengambil alih 100% kepentingan ekuiti dalam syarikat itu.

Tawaran itu termasuk pengecualian pampasan sebanyak RM3.04 bilion dan andaian hutang RM30 bilion, jumlah nilai perusahaan bagi tawaran itu adalah RM38.34 bilion.

Ia dilaporkan bidaan tertinggi daripada sektor swasta setakat ini.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.