
Berjasa mencalonkan presidennya, Badhrulhisham Abdul Aziz, yang akan berebut undi dengan calon gabungan parti sekutu PAS, Umno.
PAS yang mempunyai kerjasama rasmi dengan Umno menjalin kerjasama tidak rasmi dengan Berjasa menerusi Gagasan Sejahtera.
“Itu kita akan kaji dari semasa ke semasa,” kata Hadi mengenai kerjasama dengan Berjasa, apabila ditanya pemberita apakah tindakan lanjut PAS.
Beliau menegaskan pendirian PAS tidak bersetuju dengan tindakan Berjasa menyertai pertandingan untuk Parlimen Tanjung Piai, yang juga direbut lima calon lain iaitu Karmaine Sardini (PH), Wee Jeck Seng (BN), Wendy Subramaniam (Gerakan), Ang Chuan Lock dan Faridah Aryani Abdul Ghaffar (bebas).
“Terpulang kepada Berjasa. Kita tak setuju dia bertanding,” katanya.
Gagasan Sejahtera dibentuk pada 2016 susulan perpecahan Pakatan Rakyat, dan dianggotai oleh PAS, Berjasa, dan Parti Ikatan Bangsa Malaysia (Ikatan).
PAS menjalin kerjasama rasmi dengan Umno, dan secara tidak langsung dengan Barisan Nasional, menerusi Piagam Muafakat Nasional yang dimeterai pada 14 Sept lalu.
Bawa ke mesyuarat
Sementara itu, Ketua Penerangan Pusat Kamaruzaman Mohamad memberitahu FMT partinya akan membincangkan isu-isu berbangkit sekitar PRK Tanjung Piai dalam mesyuarat harian pimpinan PAS hari ini.
Beliau bagaimanapun enggan membutirkan isu-isu berbangkit.
“Antara agenda yang akan dibincangkan adalah mengenai PRK Tanjung Piai. Kita akan tumpu PRK Tanjung Piai dan segala isu berkaitan,” katanya.
PAS akan mengumumkan hasil mesyuarat itu dalam satu kenyataan nanti.
Sudah nasihat Berjasa
Sementara itu, PAS Johor ketika dihubungi FMT memberitahu ia sudah menasihati Berjasa supaya tidak meneruskan hasrat untuk bertanding sebelum penamaan calon PRK Tanjung Piai pada 2 Nov lalu.
Pesuruhjaya Abdullah Husin, yang mahu mengelakkan pergeseran antara sekutu, mengeluarkan kenyataan apabila terdapat ura-ura mengatakan Berjasa hendak sertai pilihan raya.
“Saya hendak elakkan benda itu. Nampaknya mereka tetap juga dan kini jadi susah lah. Tindakan mereka itu di luar kemampuan saya,” katanya.
Tanjung Piai akan mengundi pada 16 Nov.
Kerusi Parlimen itu kosong selepas kematian penyandangnya, Md Farid Md Rafik, 42 pada 21 Sept lepas.
Farid dari PPBM merampas kerusi itu daripada Barisan Nasional bagi pihak PKR pada pilihan raya umum tahun lepas dengan majoriti 524 undi, selepas memperoleh 21,255 undi, menewaskan Wee (20,731 undi) dan calon PAS Nordin Othman (2,962 undi).