
Hadi berkata beliau sentiasa mengingatkan ahli parti supaya menyokong calon BN, Wee Jeck Seng dari MCA.
Tambahnya, beliau sendiri akan turun padang untuk berkempen atas dasar muafakat nasional yang dibina antara PAS dan Umno, yang menerajui Barisan Nasional.
“Saya sendiri akan turun Rabu ini,” katanya kepada pemberita di lobi Parlimen hari ini.
Terdahulu, media melaporkan Naib Presiden Amanah Mahfuz Omar mempertikaikan sokongan PAS terhadap Wee, menyifatkan ianya jelas berbeza dengan sikap parti itu pada PRK Cameron Highlands yang memberi keutamaan kepada calon beragama Islam.
Sementara itu, ditanya mengenai pendirian Wee yang menolak rang undang-undang meminda Akta Mahkamah Syariah (Bidang Kuasa Jenayah) atau RUU 355, Hadi menjawab: “Itu hanya pandangan peribadi.”
Semalam, Wee mengulang pendirian mengatakan MCA menolak rang undang-undang tersebut.
Ini susulan pertanyaan Pengerusi Pakatan Harapan (PH) Kelantan Husam Musa yang mempersoalkan pendirian Wee berhubung RUU 355, dan sokongan PAs kepada bekas ahli Parlimen itu.
Hadi membentangkan RUU itu pada 2017 yang mahu meningkatkan kadar hukuman terhadap kesalahan jenayah syariah.
Ia dijadualkan untuk bacaan kali kedua pada Mac 2018 tetapi tidak muncul dalam aturan mesyuarat Dewan Rakyat selepas itu.