Polis tidak boleh siasat dakwaan deraan oleh mereka sendiri, kata Santiago

Polis tidak boleh siasat dakwaan deraan oleh mereka sendiri, kata Santiago

Menteri Dalam Negeri Muhyiddin Yassin sebelum mengarahkan siasatan dijalankan berhubung dakwaan penderaan polis ke atas suspek berkait LTTE.

Ahli Parlimen Klang Charles Santiago berkata, Ketua Polis Negara telah menafikan salah laku di pihak polis.
PETALING JAYA:
Seorang ahli Parlimen menggesa kerajaan membenarkan pihak ketiga yang bebas untuk menyiasat dakwaan penderaan, layanan buruk dan intimidasi ketika dalam tahanan polis.

Ini susulan kenyataan Ketua Polis Negara (KPN) Abdul Hamid Bador sebelum ini yang menyifatkan dakwaan lima individu yang didakwa menyokong kumpulan pengganas Harimau Pembebasan Tamil Eelam (LTTE) itu sebagai “tidak berasas dan tidak bertanggungjawab”.

Menteri Dalam Negeri Muhyiddin Yassin mengarahkan siasatan dijalankan berhubung dakwaan tersebut.

Bercakap kepada FMT ahli Parlimen Klang Charles Santiago berkata, polis tidak boleh diminta menyiasat diri mereka sendiri, terutama sekali setelah KPN menolak sebarang salah laku.

“Bagaimanakan kita mahu pihak yang didakwa melakukan penderaan menyiasat diri mereka sendiri? Ia tidak masuk akal. Di manakah wujudnya semak dan imbang?

“Kerajaan harus meminta Suruhanjaya Hak Asasi Manusia (Suhakam) menjalankan siasatan kerana ia berkait dengan hak asasi manusia.”

Santiago berkata, penderaan tidak terhad kepada deraan fizikal. Justeru gesaan Muhyiddin supaya laporan polis dibuat jika tahanan mempunyai kesan deraan pada tubuh mereka adalah satu “salah makluman”.

Seorang daripada tahanan terbabit mendakwa dipaksa supaya mengaku bahawa beliau merupakan ahli LTTE dan diugut dengan hukuman penjara seumur hidup sekiranya tidak mematuhi arahan polis.

Peguam bagi suspek yang lain berkata, anak guamnya ditahan dalam sebuah sel gelap secara berasingan yang tidak mematuhi peraturan lokap.

“Ini juga merupakan bentuk-bentuk penderaan. Ia bukan penderaan fizikal, tetapi mental. Justeru, sebuah badan hak asasi perlu menyiasatnya.”

Beliau berkata, kerajaan tidak mempunyai sebab untuk menolak siasatan yang dijalankan oleh pihak ketiga sekiranya ia tidak menyembunyikan apa-apa.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.