
Dalam Kejadian yang dipercayai berlaku pada 11 malam tadi bukan sahaja tiga tangki air dipecahkan tetapi juga paip yang menyambung air ke rumah penduduk kampung berkenaan juga pecah apabila dipijak kumpulan gajah berkenaan.
Penghulu Orang Asli Kampung Aring 5, Rina Anjang, 47, berkata kejadian itu disedari jam 6 pagi ini apabila penduduk mendapati air bersih untuk keperluan mereka terputus dan penduduk sepakat ke lokasi tadahan air bukit.
Katanya, lokasi itu terletak 3km dari kampung berkenaan dengan mengambil masa lebih sejam untuk sampai dan mereka terkejut apabila mendapati paip air pecah berselerakan dipercayai dipijak sekumpulan gajah liar.
Beliau berkata, ketika penduduk tiba dilokasi gajah berkenaan sudah meninggalkan kawasan tersebut dipercayai masuk dalam kawasan hutan berhampiran.
“Penduduk mungkin berdepan dengan masalah air bersih untuk tempoh yang panjang kerana usaha untuk membaik pulih mengambil masa dan terserah kepada Jabatan Kemajuan Orang Asli (Jakoa),” katanya kepada pemberita di lokasi kejadian hari ini.
Seorang penduduk Orang Asli, Husin Selik, 61, pula berkata, kejadian itu ada pertama kali berlaku kerana sebelum ini ada gajah liar berkeliaran di kampung berkenaan tetapi sekadar memusnahkan tanaman penduduk seperti pisang sahaja.
Katanya, kali ini kehadiran sekumpulan gajar liar itu memusnahkan tiga tangki dan paip air hingga tidak boleh digunakan lagi dan kemungkinan terpaksa guna air dari anak sungai berhampiran kampung walaupun tidak terjamin kebersihannya.
Beliau berkata, penduduk tidak mampu membaik pulih tangki dan paip air yang rosak teruk itu kerana memerlukan kos perbelanjaan yang tinggi.
“Kami berharap pihak Jakoa boleh mengambil tindakan segera untuk menukar tangki dan paip yang dimusnahkan gajah liar itu supaya masalah keperluan air bersih tidak terganggu terlalu lama,” katanya.