Jentera BN Pahang bantu kempen calon PRK Tg Piai

Jentera BN Pahang bantu kempen calon PRK Tg Piai

Jentera BN Pahang akan membantu di 3 Pusat Daerah Mengundi iaitu Lubuk Sawah, bandar Pekan Nenas Timur dan Utara.

Pengerusi BN Pahang, Wan Rosdy Wan Ismail menziarahi veteran Umno di Pekan Nenas.
PEKAN NENAS:
Barisan Nasional (BN) Pahang menghantar jentera daripada sayap pemuda dan puteri bagi membantu kempen calon parti mereka, Wee Jeck Seng dalam pilihan raya kecil (PRK) Tanjung Piai.

Pengerusi BN Pahang, Wan Rosdy Wan Ismail berkata jentera BN Pahang akan membantu di tiga Pusat Daerah Mengundi (PDM) iaitu Lubuk Sawah, bandar Pekan Nenas Timur dan Utara.

“Kehadiran kami hanya secukupnya untuk berkempen. Tugas mereka ‘multitasking’ ada yang kita buat secara kecil-kecilan.

“Dalam masa sama ada jentera yang pergi rumah ke rumah dan ada juga yang duduk di kedai kopi.

“Kita pelbagaikan kempen kita. Ada jentera yang ke masjid untuk berjemaah dengan penduduk,” katanya ketika ditemui selepas mengadakan ziarah bersama Wee di rumah veteran Umno di Pekan Nenas.

BN mencalonkan Wee untuk bertanding di PRK Tanjung Piai.

Selain Wee pertandingan 6 penjuru melibatkan Karmaine Sardini, Wendy Subramaniam, Badhrulhisham Abdul Aziz, Ang Chuan Lock dan Faridah Aryani Abd Ghaffar.

Dalam pada itu, Wan Rosdy yang juga menteri besar Pahang sangat optimis BN akan menambah kerusi di Tanjung Piai.

Beliau berkata ini dapat dilihat dengan jentera BN yang ramai dan semangat mereka yang berkobar-kobar untuk menang.

“Saya hadir di sini sejak 3 hari lalu dan saya lihat jentera parti begitu ramai sekali.

“Semalam saya bersama dengan jentera parti di Lubuk Sawah, bandar Pekan Nenas timur dan barat,” katanya.

Wan Rosdy berkata Wee juga tokoh yang berpengalaman dan dikenali ramai oleh pengundi di Tanjung Piai.

“Wee sebelum ini pernah menjadi wakil rakyat dan telah memberikan perkhidmatan.

“Tidak ada suara-suara negatif terhadap beliau dan saya nampak beliau diterima oleh sebahagian besar pengundi di Tanjung Piai,” katanya.

Wan Rosdy juga berkata setakat ini beliau belum melihat provokasi daripada pihak lawan.

“Mungkin awal lagi dan mereka simpan. Saya percaya pengundi sangat bijak untuk menilai dengan apa yang telah berlaku selepas 9 Mei lalu.

“Pengundi-pengundi yang saya sempat bercakap mengatakan rasa tak puas hati. Ini satu yang sangat baik kepada BN.”

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.