
Setiausaha Agung MTUC J Solomon berkata, pindaan yang dibentangkan oleh menteri M Kula Segaran bulan lepas bertujuan “memusnahkan kesatuan gerakan pekerja”.
Beliau juga mendakwa pindaan itu bertujuan menafikan hak pekerja untuk mendapat perwakilan berkesan dalam rundingan perjanjian kolektif (CA) dengan majikan.
Soloman berkata, Kula bertindak meneruskan pindaan itu walaupun didakwa memberitahu presiden MTUC dan beliau sendiri bahawa kewujudan lebih daripada satu kesatuan di tempat kerja akan memusnahkan kesatuan.
“Sebaliknya beliau membuat pusingan U dan membentangkan pindaan tersebut, yang sekiranya diluluskan akan membenarkan banyak kesatuan ditubuhkan di tempat kerja.
“Ini akan mencetuskan kekecohan dan pergeseran antara kesatuan, selain melemahkan kuasa rundingan pekerja,” katanya dalam satu kenyataan.
Solomon berkata, jika pindaan itu diluluskan, beliau menjangka majikan dan kementerian sendiri akan menaja “kesatuan pilihan” masing-masing secara aktif di tempat kerja.
Beliau mendakwa, “NGO dan individu yang lunak” akan menyokong langkah sedemikian dan ia akan menjadikan kesatuan tidak produktif dan tidak mampu memberi khidmat berkesan kepada pekerja.
Solomon membidas percubaan Kula untuk mewajarkan banyak kesatuan di tempat kerja dengan berkata ia selaras dengan konvensyen yang membenarkan kebebasan berpersatuan dan melindungi hak untuk mengadakan konvensyen di bawah Pertubuhan Buruh Antarabangsa (ILO).
“Hujah begitu tak masuk akal,” katanya.
“Terdapat banyak sekatan ke atas kesatuan sekerja di bawah Akta Perhubungan Perusahaan 1967 yang berlawanan dengan semangat Konvensyen 87 dan ia terus melemahkan gerakan pekerja selama ini,” katanya merujuk kepada konvensyen berkenaan.
Solomon berkata, walaupun Konvensyen 87 atau C87 tidak menyebut tentang banyaknya kesatuan, namun ILO menegaskan bahawa kerajaan bebas untuk menentukan peruntukan manakah yang perlu dilaksanakan berdasarkan “keperluan dan kesesuaian”.
Katanya, walaupun Kula mendakwa pindaan tersebut selaras dengan C87, namun beliau gagal menjelaskan kepada Parlimen kenapa kerajaan tindak meratifikasi konvensyen ILO itu.
Beliau berkata, beberapa bulan lepas Kula memberitahu Majlis Penasihat Buruh Kebangsaan (NLAC) bahawa beliau akan mengesyorkan supaya kerajaan meratifikasi C87 dalam mesyuarat Kabinet berikutnya, tetapi sehingga kini beliau tidak mendengar apa-apa berita mengenainya.
“Jadi kita kini berdepan keadaan yang menyaksikan, di satu pihak, menteri berkata pindaan Akta Perhubungan Perusahaan adalah selaras dengan C87, tetapi di pihak lain, kementerian beliau enggan meratitifikasi konvensyen yang sama.
“Jelas ada sesuatu yang tidak kena di sini.”