
Pengerusi Jawatankuasa Kerajaan Tempatan dan Perumahan Pahang, Abd Rahim Muda berkata mulai 1 Jan depan, kegagalan menggunakan tulisan jawi boleh menyebabkan mereka dikenakan kompaun sehingga RM250 bagi satu kesalahan oleh pihak berkuasa tempatan (PBT) masing-masing.
Katanya, ketetapan menggunakan tulisan jawi yang bersaiz sama seperti tulisan rumi dibuat tahun ini, bertujuan memartabatkan semula tulisan jawi yang semakin terpinggir, namun berdasarkan pemerhatian penggunaannya masih belum meluas kecuali di beberapa lokasi di Kuantan dan Pekan.
“Ada peniaga yang mengatakan mereka tidak menerima arahan tetapi sebenarnya arahan mengenai perkara ini telah diuar-uarkan menerusi media walaupun mungkin kurang agresif.
“Kita harapkan mereka menggunakan tempoh masa yang masih berbaki ini untuk segera berbuat demikian,” katanya kepada pemberita selepas menghadiri Program Sayangi Pantai Kita di Pusat Rekreasi Air Balok di sini, hari ini.