Polis kesan penghantar makanan ragut beg tangan wanita di Mont Kiara

Polis kesan penghantar makanan ragut beg tangan wanita di Mont Kiara

Kejadian berjaya dirakam kamera litar tertutup (CCTV) berhampiran dan pihak polis kini sedang mengesan suspek terlibat.

Rakaman CCTV menunjukkan seorang penghantar makanan bermotosikal cuba meragut beg tangan seorang wanita di hadapan sebuah kondominium di Mont Kiara.
KUALA LUMPUR:
Cubaan seorang penghantar makanan meragut beg tangan seorang wanita di hadapan kondominium Seni Mont Kiara di sini, gagal apabila mangsa berjaya menarik semula beg tangannya.

Dalam kejadian kira-kira 4 petang pada Khamis lepas itu, mangsa yang sedang berdiri di hadapan kondominium berkenaan didatangi penunggang motosikal yang membawa kotak penghantaran makanan sebuah syarikat lalu menyentap beg tangan wanita berkenaan.

Ketua Polis Daerah Brickfields, Zairulnizam Mohd Zainuddin@Hilmi berkata, kejadian itu berjaya dirakam kamera litar tertutup (CCTV) berhampiran, dan pihaknya kini sedang mengesan suspek terlibat.

“Dalam rakaman itu juga, mangsa berjaya menarik semula beg tangannya yang cuba diragut suspek, namun nombor pendaftaran motosikal tersebut tidak dapat dikenal pasti,” katanya ketika dihubungi hari ini.

Katanya, sehingga kini polis masih belum menerima sebarang laporan polis berkaitan kejadian itu yang turut tular di media sosial.

Zairulnizam meminta orang ramai yang mempunyai sebarang maklumat berkaitan kejadian itu untuk tampil membantu siasatan, atau menghubungi Ibu Pejabat Polis (IPD) Brickfields di talian 03-2297 9222.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.