
Beliau berkata kerajaan negeri telah bekerjasama dengan SRS Consortium untuk memuktamadkan perjanjian induk bagi dua komponen utama daripada Pelan Induk Pengangkutan Pulau Pinang (PTMP) bernilai RM46 bilion.
“(Setelah ia dimuktamadkan), rakan penyampaian projek boleh bergerak ke fasa penting seterusnya iaitu reka bentuk projek, mengumpulkan tender mungkin pada bulan kedua tahun hadapan, seterusnya mara ke fasa pembinaan,” katanya ketika berucap pada majlis makan malam ulang tahun ke-45 Persatuan Pemaju Hartanah dan Perumahan Malaysia (REHDA) Pulau Pinang di sini.
Projek PIL 1 adalah lebuh raya bebas tol sepanjang 19.5km dari Gurney Drive ke Lebuhraya Tun Dr Lim Chong Eu berhampiran kawasan Zon Perindustrian Bebas Bayan Lepas IV, merangkumi seksyen jejambat 7.6km, empat terowong (10.1km) dan benteng (1.8km).
Sementara itu, projek LRT pula akan meliputi 29.9km laluan rel dan 27 stesen, dari Komtar ke Lapangan Terbang Antarabangsa Pulau Pinang dan tiga lagi kawasan membabitkan pulau-pulau tebus guna di selatan Pulau Pinang dengan anggaran kos sebanyak RM8 bilion.