Loke nafi kementerian perkenal syarat baru ke atas pemandu lori

Loke nafi kementerian perkenal syarat baru ke atas pemandu lori

Semua syarat dan dasar yang diguna pakai ketika ini adalah sama seperti yang termaktub dalam Akta Pengangkutan Awam Darat 2010.

Khamis lepas sekumpulan pemandu lori mengadakan bantahan aman di luar pejabat Kementerian Pengangkutan di Putrajaya.
SEREMBAN:
Kementerian Pengangkutan sekali lagi menegaskan bahawa pihaknya tidak pernah memperkenalkan syarat atau dasar baru terhadap pemandu lori yang ingin memperbaharui lesen memandu.

Menterinya Loke Siew Fook berkata, semua syarat dan dasar, termasuk tindakan undang-undang yang diguna pakai ketika ini adalah sama seperti yang termaktub dalam Akta Pengangkutan Awam Darat 2010.

Katanya, terdapat pihak dengan sengaja cuba mengapi-apikan pemandu lori ini untuk kepentingan tertentu sehingga menimbulkan kekeliruan dan tercetusnya mogok dalam kalangan pemandu lori baru-baru ini.

“Sebenarnya apa kita kuat kuasakan selama ini bukan benda baru, semua syarat sedia ada sama ada jumlah saman, membawa muatan berlebihan, pemeriksaan kesihatan mahupun pembaharuan lesen memandu ia adalah di bawah Akta Pengangkutan Awam Darat 2010 yang diluluskan di Parlimen sejak beberapa tahun yang lalu.

“Ada pihak cuba mengapi-apikan sesetengah pemandu lori untuk kepentingan tertentu sehingga berlakunya kekeliruan dan menimbulkan sentimen agar pemandu lori mengadakan demo (demonstrasi),” katanya selepas menyempurnakan majlis Penutup Pertandingan Robotik MNSC Peringkat Kebangsaan di sini, hari ini.

Justeru Loke berkata, tidak timbul isu untuk mengkaji semula peraturan atau dasar yang berkaitan.

“Perkara ini di bawah bidang kuasa Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ), saya tidak beri apa-apa arahan kepada Ketua Pengarah JPJ Shaharuddin Khalid, bahkan apa yang dikuatkuasakan adalah mengikut undang-undang sedia ada.

“Saya mengarahkan KP KPJ untuk melihat memorandum yang dihantar pemandu lori semasa melakukan mogok dan saya minta beliau berikan penerangan kepada persatuan pemandu lori,” katanya.

Khamis lalu, beberapa kumpulan pemandu lori mengadakan perhimpunan aman di beberapa lokasi di seluruh negara, dalam usaha mendesak Kementerian Pengangkutan melonggarkan tindakan undang-undang dikenakan terhadap khidmat pengangkutan perdagangan itu.

Selain pemeriksaan kesihatan oleh doktor bagi tujuan pembaharuan Lesen Kenderaan Perdagangan dan Lesen Kenderaan Pengangkutan Awam, mereka menggesa pertimbangan dalam isu saman tinggi, muatan berlebihan, pemeriksaan kenderaan, pengurangan waktu sekatan serta pengurangan mata demerit.

Kira-kira 500 pemandu lori berhimpun di perkarangan Kementerian Pengangkutan di Putrajaya bagi menyuarakan tuntutan berkenaan sebelum menyerahkan memorandum kepada Loke yang diwakili Pengarah Bahagian Penguatkuasaan Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ), Khairul Anuar Bachok.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.