Kedah yakin julang Piala Malaysia kali ke-6

Kedah yakin julang Piala Malaysia kali ke-6

Ini bukannya perlawanan mudah kerana JDT selalunya menjadi pilihan dan dalam bola sepak bukannya nama pemain, tetapi kerja keras, tuah dan kerjasama sepasukan yang menghasilkan kemenangan, kata Aidil Sharin.

Ketua Jurulatih Kedah, Aidil Sharin Sahak tetapi yakin kemampuan pemainnya meskipun JDT ada kelebihan. (Gambar Facebook)
KUALA LUMPUR:
Selepas membimbing Kedah menjulang Piala FA buat kali kelima Julai lepas, Ketua Jurulatihnya Aidil Sharin Sahak berazam mendapatkan gelaran juara kedua berturut-turut apabila Skuad Lang Merah berhadapan Juara 2017, Johor Darul Ta’zim (JDT) dalam final Piala Malaysia malam ini.

Warga Singapura berusia 42 tahun itu berkata, biarpun JDT mempunyai kelebihan berdasarkan prestasi sekarang, beliau percaya anak-anak buahnya juga layak untuk merangkul satu lagi gelaran juara musim ini, terutamanya selepas mereka menewaskan juara empat kali, Pahang di peringkat separuh akhir untuk menempah tiket ke final.

Bekas ketua jurulatih Home United juga menepis dakwaan peminat-peminat tertentu yang Bukit Jalil membawa tuah kepada Kedah apabila pasukan itu menjuarai Piala FA menewaskan Perak 1-0 dalam final pada 28 Julai lepas.

“Kami mara ke kedua-dua final berturut-turut, tetapi saya tidak melihat ke belakang dan apa yang saya mahukan supaya pemain-pemain bekerja lebih keras dan cuba memenangi perlawanan final.

“Ia bukannya perlawanan mudah kerana JDT selalunya menjadi pilihan dan dalam bola sepak bukannya nama pemain, tetapi kerja keras, tuah dan kerjasama sepasukan yang menghasilkan kemenangan,” kata beliau.

Ada beberapa pilihan

Dalam hal ini, Aidil Sharin berkata Lang Merah sedia berhadapan JDT biarpun kehilangan dua pertahanan utama, bek tengah dari Brazil Renan Alves dan bek kanan Mohd Rizal Ghazali yang masing-masing menerima dua kad kuning dalam perlawanan suku akhir dan separuh akhir Piala Malaysia.

Aidil mendedahkan beliau mempunyai beberapa pilihan untuk menggantikan kedua-dua pemain itu seperti Mohamad Amirul Hisyam Awang Kechik dan Mohamad Syawal Nordin untuk mematahkan sebarang percubaan daripada trio berbisa JDT– Diogo Luis Santo, Muhammad Safawi Rasid and Gonzalo Cabrera.

Berkongsi pandangan sama adalah Kapten Kedah, Baddrol Bakhtiar yang mengintai peluang untuk menebus kekecewaan setelah skuad Lang Merah tewas 0-2 kepada JDT pada aksi final Piala Malaysia 2017 di Stadium Shah Alam.

Perancang tengah berusia 31 tahun itu menegaskan walaupun Kedah dilabel selaku pasukan ‘underdog’, beliau yakin rakan sepasukan mampu menampilkan aksi terbaik untuk meraih kejuaraan Piala Malaysia buat kali keenam.

Untuk rekod, Kedah muncul juara Piala Malaysia sebanyak lima kali, iaitu pada 1990, 1993, 2007, 2008 dan 2016.

“Saya perlu bekerja keras untuk perlawanan esok untuk mengekang dua pemain JDT, dan apa yang penting perlu menunjukkan semangat juang yang tinggi untuk menentang JDT,” jelas Baddrol yang telah menjulang kejuaraan Piala Malaysia bersama Kedah sebanyak tiga kali– 2007, 2008 dan 2016.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.