
ALOR SETAR: Esok diisytiharkan sebagai hari kelepasan am di Kedah sekiranya pasukan bola sepak negeri ini menjuarai Piala Malaysia yang berlangsung di Stadium Bukit Jalil malam ini.
Menteri Besar Kedah, Mukhriz Mahathir dalam satu kenyataan hari ini berkata pengisytiharan itu diperuntukkan di bawah Seksyen 9 (1) Akta Hari Kelepasan Am.
“Kerajaan negeri membuat keputusan ini sebagai penghormatan kepada pasukan Hijau Kuning yang mengharumkan nama Negeri Kedah Darul Aman sehingga berjaya menjulang piala yang berprestasi itu,” katanya.
Mukhriz berkata ia juga bagi menghargai kesetiaan dan sokongan padu rakyat kepada pasukan bola sepak negeri ini.