
JDT yang sehingga kini menikmati musim cemerlang, dengan memulakan Liga Malaysia (Liga-M) dengan memenangi Piala Sumbangsih, sebelum mengekalkan penguasaan takhta Liga Super untuk musim keenam berturut-turut.
Bagaimanapun, walaupun melalui musim yang cemerlang, Ketua Jurulatih Benjamin Mora merasakan pasukannya masih perlu mempamerkan permainan terbaik, mereka jika mahu memenangi piala ketiga mereka.
“Untuk esok saya rasa, lebih sedikit kesilapan yang kami buat, peluang menjadi juara adalah lebih besar. Adalah penting untuk JDT sekali lagi bermain di final Piala Malaysia. Ia satu perjalanan yang jauh, yang sukar, tetapi bagi saya dalam perlawanan akhir tidak ada pasukan pilihan.
“Kami amat hormati Kedah, mereka juga nikmati tahun yang bagus … menang piala FA dan amat baik dalam liga. Seperti yang saya katakan, ia bukan sesuatu yang mudah, apa-apa sahaja boleh berlaku,” katanya pada sidang media praperlawanan di Stadium Nasional Bukit Jalil.
Kali terakhir kedua-dua pasukan itu bertemu pada perlawanan final Piala Malaysia pada 2017, yang menyaksikan JDT mengalahkan Kedah 2-0 dan mengakhiri penantian memenangi Piala Malaysia selama 26 tahun.
Sementara Ketua Pasukan JDT, Harris Harrun yang tidak bermain bersama JDT kerana dipinjamkan, dan tidak berpeluang menjulang piala itu, mahu memastikan satu lagi kemenangan untuk dirinya selepas hampir memenangi kesemua piala bersama JDT.
“Tentu sekali bila berada di final, kita mesti mahu menang. Jadi tidak ada bezanya untuk saya dari segi peribadi dan juga pasukan. Kami berjaya layak ke final, ia satu perlawanan di hadapan penonton yang amat ramai, kami sudah bersedia untuk esok, kami buat persediaan dengan baik minggu ini, jadi kami hanya menunggu malam esok,” kata warga Singapura itu.
Bercakap mengenai Kedah di bawah kendalian Aidil Sharin Sahak yang merupakan bekas jurulatihnya di Home United, Harris berkata Aidil telah lakukan yang terbaik dalam memastikan pasukan itu beraksi cemerlang.
“Cara beliau ialah bagaimana anda lihat dalam permainan Kedah kini. Mereka akan cuba untuk bermain secara terus dan mereka mempunyai pemain yang pantas, jadi tidak ada perbezaan selepas beberapa tahun, dan saya rasa esok mereka akan lakukan lebih baik,” katanya.