
Ini kali kedua JDT menewaskan Kedah, juara Piala FA, dalam tiga tahun. Pada 2017, JDT mengatasi Kedah 2-1.
Selain 2017, Johor pernah merangkul piala itu pada 1991 dan 1985.
Kejayaan merangkul piala berprestij itu hadir lima bulan selepas skuad kendalian ketua jurulatih Benjamin Mora dinobatkan sebagai juara Liga Super buat kali keenam berturut-turut, Jun lepas, lapor Bernama.
Lebih manis, ia merupakan kejayaan ketiga JDT dalam saingan musim ini apabila turut meraih gelaran juara Piala Sumbangsih sementara Kedah yang menjuarai Piala FA terpaksa melupakan hasrat menambah koleksi kejuaraan.
Pada perlawanan yang disaksikan 82,420 penyokong itu, JDT ternyata berada di kelas tersendiri apabila menyajikan persembahan cemerlang seawal permainan sehingga menghasilkan dua gol di separuh masa pertama sebelum melengkapkan kemenangan 3-0 menerusi gol tunggal di separuh masa kedua.
Pemain import dari Argentina, Leandro Velazquez meletakkan skuad Harimau Selatan di hadapan pada minit ke-27 selepas menerima umpanan cantik Gonzalo Gabriel Cabrera, sekali gus menewaskan penjaga gol Kedah, Mohd Ifwat Akmal Chek Kassim.
Tujuh minit kemudian, giliran penyerang kebangsaan, Muhammad Safawi Rasid meletakkan JDT selesa mendahului 2-0 menerusi sepakan percuma yang menggegar palang sebelum melepasi garisan gol sekali lagi meninggalkan Mohd Ifwat tergamam di pintu gol.
Kedah yang terkenal dengan semangat juang tinggi dilihat seakan terus terperangkap dengan mutu permainan disajikan JDT di separuh masa kedua dan gagal menghasilkan sebarang percubaan berbahaya.
JDT terus mempamerkan belang apabila mengasak kubu pertahanan Kedah sebelum pemain gantian Muhammad Syafiq Ahmad menanduk masuk gol ketiga JDT pada minit ke-58 dan keputusan 3-0 kekal sehingga tamat perlawanan.
Perlawanan akhir Piala Malaysia itu diserikan dengan keberangkatan Raja Permaisuri Agong, Tunku Hajah Azizah Aminah Maimunah Iskandariah.
Turut berangkat Sultan Kedah, Sultan Sallehuddin Ibni Almarhum Sultan Badlishah dan Sultanah Kedah, Sultanah Maliha Tengku Ariff serta turut disaksikan Menteri Besar Kedah, Mukhriz Mahathir dan Presiden Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM), Hamidin Mohd Amin.