WhatsApp dakwa wartawan, aktivis India diintai perisian intip Israel

WhatsApp dakwa wartawan, aktivis India diintai perisian intip Israel

Ia susulan saman yang difailkan di Mahkamah Persekutuan San Francisco di mana WhatsApp mendakwa kira-kira 1,400 pengguna WhatsApp di seluruh dunia menjadi sasaran pihak yang menggunakan Pegasus.

NEW DELHI:
Platform media sosial milik Facebook dan aplikasi mesej bagi telefon pintar, WhatsApp, mendedahkan sekurang-kurangnya 24 rakyat India, termasuk wartawan, peguam dan aktivis hak asasi manusia diintai perisian intip Israel pada Mei lalu.

Agensi berita China Xinhua memetik laporan akhbar The Indian Express sebagai berkata, semua individu itu menjadi sasaran pengawasan oleh pengendali yang menggunakan perisian intip Israel dikenali sebagai Pegasus.

“Telefon pintar ditembusi melalui panggilan yang tidak dijawab saja,” menurut laporan itu.

Pendedahan itu susulan satu saman yang difailkan di Mahkamah Persekutuan San Francisco, Amerika Syarikat pada awal minggu ini, di mana WhatsApp mendakwa syarikat teknologi Israel, NSO menyasarkan kira-kira 1,400 pengguna WhatsApp di seluruh dunia dengan Pegasus.

Satu mesej WhatsApp yang diterima seorang wartawan pada 29 Okt lalu berbunyi: “Pada Mei, kami telah menghentikan satu serangan oleh penggodam yang cuba mengeksploitasi panggilan video kami untuk memasang perisian hasad pada peranti pengguna.

“Ada kemungkinan nombor telefon ini terjejas dan kami ingin memastikan anda tahu cara menjaga keselamatan telefon bimbit anda.

“Sentiasa guna versi terkini WhatsApp dan pastikan sistem operasi mudah alih anda dikemas kini untuk menerima perlindungan keselamatan terkini.”

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.