Servis peneman perjalanan wanita dengan MakCik Travels!

Servis peneman perjalanan wanita dengan MakCik Travels!

MakCik Travel merupakan perkhidmatan e-hailing yang terkenal dan pastinya lebih selamat digunakan untuk golongan wanita.

Di zaman yang serba moden dan canggih, banyak kes jenayah melibatkan kaum wanita menjadi mangsa semakin berleluasa.

Tidak kiralah tua atau muda golongan ini tidak terlepas daripada apa jua masalah yang datang tanpa diduga.

Dan atas dasar itulah pelbagai langkah dan inisiatif dilakukan sesetengah pihak bagi memelihara keselamatan mereka.

Antaranya parkir khas golongan wanita, “coach” khas untuk wanita bagi pengangkutan awam seperti LRT dan KTM.

Dan yang terbaru aplikasi “MakCikTravels.com” juga diwujudkan bagi menjaga wanita daripada terus teraniaya.

Ia menjadi viral di media sosial selepas seorang makcik mengambil keputusan untuk menjadi pemandu “Grab” iaitu servis pengangkutan jarak dekat dan jauh yang tidak asing lagi bagi semua orang.

Secara tidak langsung ia menjadi pencetus kepada perkhidmatan “MakCikTravels.com” untuk mewujudkan satu aplikasi yang akan dimonopoli oleh golongan makcik, dan menawarkan perkhidmatan “peneman” buat kaum wanita.

Walaupun baharu berusia setahun jagung namun perkhidmatan teksi e-hailing, Makcik Travels yang memulakan operasi sejak November 2018 mampu memberi saingan kepada pengusaha sedia ada dalam pasaran selain keberkesanan perkhidmatan yang ditawarkan.

Diasaskan pada April tahun ini oleh seorang pensyarah Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM), Sazlina Kamaralzaman optimis perkhidmatan yang diwujudkannya mampu menjamin dari segi keselamatan dan keselesaan wanita tidak kira di mana jua.

Bukan sahaja menawarkan khidmat pengangkutan, aplikasi ini juga menawarkan perkhidmatan “peneman” kepada wanita sahaja seperti membantu untuk pergi pemeriksaan di klinik atau menjaga anak-anak di rumah jika perlu menghadiri majlis penting.

Dengan perkhidmatan 24 jam setiap hari sesiapa sahaja boleh menempahnya dengan bayaran serendah RM15 sejam.

Menurut Sazlina, MakCik Travels kini mempunyai 300 orang pemandu dan ia juga meliputi beberapa kawasan lain di luar Lembah Klang seperti di Kota Bharu, Johor Bahru, Nilai, Taiping, Alor Setar dan Bukit Mertajam.

Malah sasarannya menjelang penghujung 2019, syarikat ini dijangka mempunyai 400 orang pemandu dan 200 orang pengiring di seluruh negara.

“Kita bermula dengan 20 orang pemandu sahaja dan sekarang ia makin berkembang sehingga 300 pemandu dan semuanya adalah wanita.

“Daripada servis yang dilakukan, kita hanya mengambil 20% komisen sahaja dan 80% lagi untuk mereka sepenuhnya,” katanya lagi.

MakCik Travels yang pernah memenangi Anugerah Silver Tulip daripada London Examination Board pada 2018 dan kini sedang bekerjasama dengan Institut Jantung Negara (IJN) bagi memberi bantuan “peneman” kepada pesakit-pesakit IJN.

Sazlina turut berkata asalnya dia tidaklah begitu serius untuk membuat perkhidmatan MakCik Travels namun selepas melihat kepada anaknya, Siti Sarah yang menuntut di Kolej Vokasional Kajang sering menawarkan perkhidmatan perkongsian kenderaan untuk penuntut wanita yang mahu ke destinasi berhampiran, beliau mencadangkan agar ia dijadikan satu perkara yang serius.

“Kami menggunakan wang simpanan RM10,000 sebagai modal dan mendaftarkan MakCik Travels, nama pun kita fikir sewaktu ingin mendaftarkannya di Suruhanjaya Syarikat Malaysia (SSM), sebab kita fikir nama MakCik Travels itu adalah yang paling mudah untuk orang ingat,” ujarnya lagi.

Tambahnya “MakCik Travels” turut menawarkan perkhidmatan mengatur dan menguruskan aktiviti percutian dan umrah.

Anda ada berita menarik untuk dikongsi? Sila email ke [email protected]

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.