Ringgit mengukuh berikutan laporan rundingan AS-China disambung semula

Ringgit mengukuh berikutan laporan rundingan AS-China disambung semula

Menurut Kementerian Perdagangan China, ketua perunding AS dan China akan mengadakan rundingan menerusi telefon pada Jumaat.

Penganalisis berkata, laporan mengenai rundingan perdagangan AS-China disambung semula meningkatkan permintaan terhadap ringgit.
KUALA LUMPUR:
Ringgit dibuka mengukuh berbanding dolar AS pada dagangan awal hari ini berikutan peningkatan permintaan terhadap unit tempatan itu susulan laporan rundingan dagangan Amerika Syarikat (AS)-China disambung semula, kata seorang peniaga.

Pada 9.09 pagi, ringgit disebut harga pada 4.1750/1790 berbanding dolar AS daripada 4.1775/1795 sewaktu ditutup pada Khamis.

Public Investment Bank menerusi satu nota penyelidikannya berkata, rundingan dagangan antara AS-China itu akan diadakan walaupun wujud ketidakpastian membabitkan pertemuan Presiden Donald Trump dan rakan sejawatannya, Xi Jinping berikutan pembatalan mengejut sidang kemuncak Kerjasama Ekonomi Asia Pasifik (APEC) 2019 di Chile, pertengahan bulan ini.

Kedua-dua pemimpin itu sepatutnya bertemu dalam persidangan tersebut.

Ketua perunding AS dan China akan mengadakan rundingan menerusi telefon pada Jumaat, demikian menurut Kementerian Perdagangan China.

“Wakil perdagangan China dan AS terus menjalin komunikasi dan setakat ini perkembangan rundingan adalah lancar kerana kedua-dua pihak akan meneruskan rundingan dan kerja lain sebagaimana dirancangkan sebelum ini,” kata kementerian itu.

Dalam pada itu, ringgit diniagakan kebanyakannya rendah berbanding kelompok mata wang utama lain.

Ringgit rendah berbanding dolar Singapura pada 3.0694/0728 daripada 3.0670/0689 dan turun berbanding yen kepada 3.8668/8716 daripada 3.8570/8599.

Unit tempatan itu turut susut berbanding pound British kepada 5.4070/4126 daripada 5.4044/4087 dan mengukuh berbanding Euro pada 4.6572/6629 daripada 4.6629/6668.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.