Menteri agama Indonesia cetus kontroversi cadang larangan burka

Menteri agama Indonesia cetus kontroversi cadang larangan burka

Fachrul Razi berkata, kementeriannya mempertimbangkan larangan memakai burka di pejabat kerajaan atas faktor keselamatan, selepas seorang menteri ditikam sepasang suami isteri.

Banyak negara melarang pemakaian burka di tempat awam atas faktor keselamatan. (Gambar Reuters)
PETALING JAYA:
Cadangan melarang pemakaian burka oleh menteri Indonesia yang bertanggungjawab ke atas hal ehwal agama mendapat reaksi berbeza daripada orang ramai.

Fachrul Razi berkata, kementeriannya mempertimbangkan larangan memakai burka di pejabat kerajaan atas faktor keselamatan, selepas Menteri Koordinator Bidang Politik, Hukum dan Keamanan, Wiranto cedera ditikam sepasang suami isteri yang dipercayai ialah penyokong IS.

Tetapi, beberapa penggubal undang-undang mengkritik cadangan itu atas alasan kerajaan tidak patut campur tangan dalam pakaian orang ramai.

“Setakat ini, tiada hubungan kait antara pakaian dan radikalisme; tiada kajian dan kesimpulan lagi.

“Malah, orang yang berseluar seperti generasi milenium boleh melakukan tembakan, seperti yang berlaku di New Zealand,” kata wakil rakyat Parti Mandat Nasional, Yandri Susanto kepada Jakarta Post.

Bagaimanapun, sekurang-kurangnya dua menteri menyokong cadangan itu, walaupun Fachrul menarik balik kenyataan itu dan berkata, cadangan berkenaan tidak datang daripada kementeriannya.

Menteri Pentadbiran Negara dan Reformasi Birokrasi, Tjahjo Kumolo serta Menteri Koordinator Bidang Pembangunan Manusia dan Kebudayaan, Muhadjir Effendy berkata, rakyat perlu mematuhi kod pakaian di tempat kerja.

Tjahjo cuba mengurangkan kebimbangan ramai mengenai larangan pemakaian burka ialah pelanggaran ke atas kebebasan beragama.

“Mereka dibenarkan pakainya, tetapi di rumah sendiri. Jika mereka ialah pekerja, mereka perlu patuhi peraturan.”

Ulama arus perdana berkata, burka yang popular di sesetengah kawasan di Timur Tengah dan menutup wajah kecuali mata tidak diwajibkan.

Banyak negara melarang pemakaian burka di tempat awam atas faktor keselamatan.

Baru-baru ini, pemakaian burka dilarang di Sri Lanka selepas serangan pengganas pada sambutan Easter pada April lalu.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.