
Dalam satu kenyataan di media sosial pada Khamis, Pejabat Pendakwa Chile berkata, kematian terbabit berlaku antara 19 Okt ketika perintah darurat diisytihar, dan 26 Okt.
Kenyataan itu menyebut 16 orang maut selepas dijadikan tebusan dan dirompak, lima terbunuh ketika bertempur dengan pasukan keselamatan dan dua lagi meninggal dunia semasa berada dalam tahanan.
Identiti seorang penunjuk perasaan yang dibakar sehingga mati belum dikenal pasti, namun siasatan berhubung kes itu sedang dilakukan.
Tunjuk perasaan antikerajaan yang bermula sebagai tindak balas terhadap kenaikan tambang pengangkutan awam yang kini digantung, bertukar ganas pada 19 Okt.
Semasa rusuhan berlaku, sejumlah 49 stesen kereta api bawah tanah dimusnahkan dan 26 bas dibakar.
Lebih 9,200 orang ditahan di seluruh negara, menurut Kementerian Kehakiman.
Penunjuk perasaan merancang mengadakan lebih banyak bantahan secara besar-besaran pada hujung minggu untuk mendesak peletakan jawatan Presiden Sebastian Pinera, yang telah menggantikan lapan anggota Kabinet, termasuk menteri dalam negeri dan menteri kewangan.
Pada 18 Okt, penunjuk perasaan melompat melepasi lawang putar di stesen metro di Santiago tanpa membayar harga tiket sebagai membantah kenaikan tambang sebanyak empat peratus.
Pinera turut mengumumkan beberapa konsesi, termasuk menarik balik keputusan menaikkan tambang, meningkatkan gaji minimum dan menangguhkan kenaikan caj elektrik sehingga tahun depan dalam usaha mengekang tunjuk perasaan.
Separuh daripada pekerja di Chile memperoleh pendapatan sebanyak AS$550 atau kurang setiap bulan, menurut statistik pihak berkuasa negara itu.
Tunjuk perasaan antikerajaan terus diadakan di seluruh negara, namun kadar penyertaannya adalah lebih rendah secara relatif.