IS sahkan Baghdadi terbunuh, lantik pengganti

IS sahkan Baghdadi terbunuh, lantik pengganti

IS melantik individu yang hanya dikenali sebagai Abu Ibrahim al-Hashemi al-Quraishi sebagai pengganti Baghdadi.

Kumpulan IS menguasai beberapa wilayah di Iraq dan Syria dari 2014 dan 2017 dengan melakukan keganasan yang mencemaskan orang Islam lain.
KAHERAH:
Kumpulan militan IS mengesahkan pada Khamis kematian pemimpinnya Abu Bakr al-Baghdadi, kata agensi berita kumpulan itu Amaq dalam satu pita audio, berikutan serangan tentera AS pada hujung minggu lepas.

Baghdadi, seorang pejuang warga Iraq yang tidak dikenali sebelum ini mengisytiharkan dirinya sebagai “khalifah” umat Islam dan pemimpin Negara Islam, dibunuh oleh pasukan khas AS di barat daya Syria, kata Presiden Donald Trump pada Ahad.

Kumpulan itu tidak mengeluarkan apa-apa kenyataan sehingga kini.

Amaq berkata, IS melantik individu yang hanya dikenali sebagai Abu Ibrahim al-Hashemi al-Quraishi sebagai pengganti Baghdadi.

Aymenn al-Tamimi, penyelidik mengenai IS di Universiti Swansea berkata, nama tersebut tidak dikenali, tetapi berkemungkinan merupakan pimpinan atasan kumpulan itu yang dipanggil Haji Abdullah.

Jabatan Negara AS mengenal pasti Haji Abdullah sebagai bakal pengganti Baghdadi.

“Beliau mungkin seseorang yang kita sedia kenal, tetapi menggunakan nama baru itu,” kata Tamimi.

Kumpulan IS yang menguasai beberapa wilayah di Iraq dan Syria dari 2014 dan 2017 dengan melakukan keganasan yang mencemaskan orang Islam lain, juga mengesahkan kematian jurucakapnya Abu al-Hassan al-Muhajir.

Baghdadi dibunuh di Idlib di barat daya Syria.

Pasukan khas AS menjalankan operasi di Syria sehingga memaksa Baghdadi membunuh dirinya dan tiga anak beliau dengan meletupkan vest bom bunuh diri apabila beliau terkepung dalam satu terowong, kata pegawai AS.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.