Hakim tarik diri dengar saman lucut hak harta syarikat milik adik bekas menteri

Hakim tarik diri dengar saman lucut hak harta syarikat milik adik bekas menteri

Collin Lawrence Sequerah menarik diri daripada mendengar permohonan saman lucut hak ke atas rampasan harta Obyu Holdings kerana beliau sedang mendengar perbicaraan kes 1MDB Najib Razak.

Mahkamah Tinggi, Collin Lawrence Sequerah. (Gambar fail)
KUALA LUMPUR:
Permohonan kerajaan untuk melucutkan hak terhadap harta berjumlah RM680 juta yang disita daripada premis milik Obyu Holdings Sdn Bhd akan didengar di depan hakim baru.

Ini berikutan Hakim Mahkamah Tinggi, Collin Lawrence Sequerah yang mendengar perbicaraan kes Najib Razak berhubung dana 1MDB menarik diri daripada mendengar permohonan itu.

Perkara itu disahkan Timbalan Pendakwa Raya, Muhammad Shukri Hussain ketika ditemui pemberita selepas pengurusan kes itu dalam kamar hakim hari ini.

“Yang Arif berpendapat tidak sesuai bagi beliau mendengar permohonan ini kerana beliau sedang mendengar perbicaraan kes 1MDB yang sedang berlangsung.

“Yang Arif menetapkan 9 Dis untuk pengurusan kes di depan hakim lain bagi mendengar permohonan berkaitan Obyu Holdings dan lain-lain pihak ketiga dalam permohonan berkenaan, iaitu Umno dan Global Royalty Trading SAL,” katanya.

Obyu Holdings dimiliki Bustari Yusof, adik bekas menteri kerja raya, Fadillah Yusof. Bustari adalah orang kepercayaan rapat Najib.

Dalam notis usul yang difailkan terhadap Obyu, kerajaan antaranya menyita 11,991 barang kemas, 401 utas jam tangan dan 16 aksesori jam tangan, 234 cermin mata dan 306 beg tangan serta wang tunai berjumlah RM114,164,393.44 dalam pelbagai mata wang.

Sebahagian besar barang mewah yang dirampas polis dilaporkan dari pangsapuri milik Obyu Holdings. Selain itu, sebuah hartanah di Kuala Lumpur turut disita pada 1 Nov 2018.

Shukri memaklumkan permohonan oleh firma barang kemas, Global Royalty Trading SAL yang memohon untuk menjadi pencelah dan memeriksa barangan kemas disita itu akan didengar di depan hakim lain pada tarikh sama.

“Setakat ini, kami dimaklumkan pemeriksaan barangan kemas itu akan dilakukan peguam mewakili Global Royalty, David Gurupatham, Najib dan isteri, Rosmah Mansor,” katanya.

Najib dan Rosmah yang merupakan pihak ketiga dalam permohonan itu masing-masing diwakili peguam, Iskandar Shah Ibrahim dan Syahirah Hanapiah.

Permohonan lucut hak itu difailkan pendakwaan selaku pemohon terhadap Obyu yang dinamakan sebagai responden di bawah Akta Pencegahan Pengubahan Wang Haram dan Pencegahan Pembiayaan Keganasan 2001.

Sebelum ini, Ketua Pesuruhjaya Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM), Latheefa Koya berkata agensi itu memfailkan permohonan berkenaan terhadap 41 responden untuk mendapatkan semula kira-kira RM270 juta yang mempunyai kaitan dengan 1MDB yang SPRM percaya dipindahkan daripada akaun Najib.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.