
Penyokong Helang Merah dan Harimau Selatan meredah perjalanan kira-kira 6 jam dari negeri masing-masing sebelum malam mereka ditakdirkan bertembung di stadium.

“Saya anggap diri saya sebagai peminat, bukan penyokong,” kata Mohd Rahimi Azmi, 34, kepada FMT. Dia datang sehari lebih awal kerana menjangkakan kesesakan lalu lintas yang teruk esok.
“Kalau penyokong hanya akan sokong saat menang tetapi jika peminat, kita ikut walau jatuh dan bangun pasukan.”
Kini sudah enam kali beliau menjadi “saksi” untuk pasukan Kedah sejak musim 2007/2008. “Sudah 6 kali Kedah masuk perlawanan akhir, semuanya saya datang,” tambahnya.
Begitu juga Mozly Mokhtar, 45, yang meninggalkan Johor Bahru tiga hari lalu untuk bersama pasukannya di Lembah Klang.

“Memang di atas kertas memihak pada JDT,” katanya kepada FMT. Dia percaya JDT akan dijulang sebagai pemenang, tetapi masih berwaspada dengan Kedah.
“Saya nampak peluang 50-50. Kalau saya, tentulah JDT akan menang, tidak banyak, cukup hanya 4-1.”
Malam esok bukan kali pertama Kedah dan JDT bertembung di perlawanan akhir Piala Malaysia. Pada final 2017, Helang Merah tewas di tangan Harimau Selatan 0-2, kemenangan yang menamatkan kemarau 32 tahun jaguh dari selatan Semenanjung itu.
JDT boleh dianggap berada dalam prestasi terbaiknya, menjuarai Liga Super buat kali keenam berturut-turut musim ini.
Kedah juga tidak boleh dipandang rendah – tahun ini ia menjulang Piala FA selepas menewaskan pasukan negeri Perak.
Rahimi, yang sudah masak dengan karenah setiap kali perlawanan akhir, juga sudah bersedia.
“Semua belanja saya sendiri. Saya beli tiket awal kerana takut tiket habis – sebelum ini saya buat sambil lewa hingga ulat tiket ambil kesempatan jual tiket harga ratusan ringgit,” katanya.

Seorang pemuda, Muhammad Ikhwan Mohd Fuad, 18, bertolak dari Alor Setar seawal 3 pagi kelmarin kerana mahu melihat Kedah menambah koleksi piala tahun ini, dengan kemenangan 2-1.
“Nampak kelebihan kepada JDT…bola ini bulat, apa-apa sahaja boleh berlaku,” kata pembantu kantin ini, sambil menarik perhatian kepada perlawanan JDT-Selangor pada separuh akhir.
“Selangor tewas di hadapan penyokong sendiri walaupun pasukan JDT dikepung ribuan penyokong Selangor,” katanya.
Bagi Ikhwan, menang atau kalah bukan keutamaannya, kerana dia mahukan permainan terbaik daripada semua pemain esok.
“Safawi Rashid (penyerang JDT) sekarang tengah meningkat naik. Mungkin rezeki dia dapat menjaringkan hatrik pada perlawanan bertemu Selangor. JDT bermain secara berpasukan, sebab itu dia dapat buat jaringan,” tambahnya.

Ketika mencari lagi penyokong Kedah dan JDT untuk ditemubual, FMT bertemu Muhammad Syahrul Mohd Hasim, seorang penyokong Selangor di Bukit Jalil.
Beliau akur dengan kekalahan 5-1 Gergasi Merah di tangan JDT.
“Saya tahu memang JDT merupakan pasukan yang terbaik. Pemainnya lengkap dari semua posisi, mempunyai kemahiran mengawal bola dengan baik, jika dibandingkan dengan Pahang, Kedah, dan Perak.
Beliau menjangka JDT akan menang piala kali ini.
“Walaupun ramai tidak sukakan JDT kerana kelihatan seperti sombong tetapi mereka patut berbangga dengan kejayaan pasukan itu,” katanya.